Umum

Ibu didakwa sebabkan kematian anak lelaki berusia lima tahun

Seorang ibu didakwa di Mahkamah Majistret di sini, semalam, atas pertuduhan dengan sengaja menyebabkan kematian anak lelakinya berusia lima tahun, awal bulan ini.

R. Kaleswary, 35, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nur Madiana Mamat, bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan kematian PJ Samsoon Paul, di sebuah premis di Taman Tan Sri Yaakub dekat Iskandar Puteri antara 9 pagi hingga 12.20 tengah hari, 3 Dis lepas dan didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati, jika sabit kesalahan.

Mahkamah menetapkan 15 Feb depan untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen dan lantikan peguam.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Khairunnisa Zainudin.

Sementara itu, di Mahkamah Sesyen, Kaleswary bersama teman lelakinya Muhammad Iskandar Abdullah, 32, didakwa melakukan penganiayaan sehingga menyebabkan kecederaan fizikal terhadap mangsa sama antara April hingga 3 Dis lepas.

Ibu kanak-kanak berkenaan mengaku bersalah manakala Muhammad Iskandar yang bekerja sebagai penghantar gas mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Fatimah Zahari.

Bagaimanapun hukuman ke atas Kaleswary ditangguhkan kerana menunggu laporan bedah siasat.

Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di tempat sama mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak Kanak 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 31 (1) akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM20,000 atau penjara maksimum 10 tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Chai Ing Hien dan M. Raveena tidak menawarkan jaminan terhadap tertuduh atas alasan kesalahan itu melibatkan kematian namun Muhammad Iskandar yang tidak diwakili peguam, merayu jaminan minimum kerana dia menanggung dua anak berusia dua tahun dan lapan bulan, yang seorang daripadanya merupakan anak bersama Kaleswary.

Fatimah membenarkan Muhammad Iskandar diikat jamin RM14,000 dengan seorang penjamin selain perlu melapor diri sebulan sekali di balai polis berhampiran.

Mahkamah menetapkan 27 Jan untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen, laporan bedah siasat mangsa dan lantikan peguam.

Pada 3 Dis lepas, seorang kanak-kanak lelaki dilaporkan meninggal dunia dipercayai didera. Polis menerima panggilan daripada petugas Hospital Sultanah Aminah mengenai kejadian itu pada 12.20 tengah hari.

Pemeriksaan ke atas badan mangsa turut menemukan kecederaan di mulut dan lebam di seluruh bahagian depan serta belakang badan dipercayai akibat didera.

— BERNAMA

PALING POPULAR

To Top