Umum

Ibu maut, bayi cedera, kereta terbabas di Lebuhraya Utara-Selatan

Seorang wanita maut manakala bayinya yang berusia setahun parah selepas kereta yang dipandunya terbabas melanggar pembahagi jalan di Kilometer 209.7 Lebuhraya Utara-Selatan, arah selatan, dekat Kamunting, malam tadi.

Mangsa, anggota tentera, Norfatiha Mohd Zaini, 28, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM).

Bayinya, Nur Jannatul Sumayyah Mohd Zulhakimi, 1, mengalami kecederaan parah dan masih dirawat di Hospital Taiping.

Bagaimanapun, dua lagi anaknya, Nur Jannatul Husna, 6, dan Muhammad Iman Rizky, 3, tidak mengalami kecederaan.

Menurut Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Osman Mamat, pihaknya menerima maklumat mengenai nahas itu daripada orang awam, kira-kira jam 10.55 malam.

“Siasatan awal mendapati, semasa kereta itu dari arah Sungai Petani menghala ke Ipoh, apabila sampai di tempat kejadian, telah hilang kawalan dan terbabas lalu melanggar besi pembahagi jalan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Tambahnya, ekoran nahas itu, pemandu telah mengalami kecederaan di kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

PALING POPULAR

Copyright © 2021

To Top