Kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) dunia bagi tahun 2021 jatuh ke kedudukan 62 berbanding tangga ke 57 pada 2020.
Presiden Transparency International Malaysia (TI-M), Muhammad Mohan berkata, daripada 180 negara, Malaysia mencatatkan skor 48 berbanding skor sebanyak 51 peratus pada tahun sebelumnya.
Skor dicatatkan Malaysia itu menjadikan buat pertama kalinya sejak 2012, negara kini dikelompokkan dalam dua pertiga negara dengan skor di bawah 50 daripada 100.
“Skor Malaysia adalah 48 pada 2021. Kalau dilihat pada Barometer CPI, kita bergerak ke arah markah yang lebih rendah dan itu adalah tidak bagus.
“Sepatutnya kita bergerak ke arah lain (markah lebih tinggi). Anda boleh lihat dari 2021 (2021 hingga 2019), skor kita berkurang lima dalam masa tiga tahun.
“Mungkin ada yang kata, baru lima sahaja tapi kurang lima skor sebegitu adalah sangat serius, sangat membimbangkan bila kurang sebegitu. Ini adalah satu perkara yang kita perlu lihat dengan lebih serius,” katanya.
Beliau berkata demikian pada pembentangan Corruption Perceptions Index 2021 ”Corruption Human Rights & Democracy” yang diadakan secara maya pada Selasa.
Mengulas lanjut, beliau berkata, negara yang menduduki tangga teratas dalam CPI itu ialah Denmark, New Zealand dan Finland yang semuanya mencatatkan skor 88 daripada 100.
Manakala Venezuela, Syria, Somalia dan Sudan Selatan dan Somalia di tangga terbawah dengan markah masing-masing tidak sampai 15.
Dalam pada itu, negara jiran, Singapura terus berada dalam kedudukan 10 terbaik dengan menduduki tangga keempat dengan skor berjumlah 85, menjadikan ia satu-satunya negara dari Asia yang masuk dalam senarai tersebut.
Bagi kedudukan di Asia Tenggara pula, Malaysia berada di tangga ketiga di belakang Singapura dan Brunei diikuti Indonesia di tangga keempat dan Thailand pula di kedudukan kelima.
Sumber: Astro Awani