Umum

Inflasi tinggi bersifat sementara, didorong sasaran bank pusat – Moody’s

Inflasi semasa yang tinggi akan mengakibatkan kesan kredit ketara namun bersifat sementara di banyak negara, memandangkan tindakan bank-bank pusat akan mendorong inflasi lebih rendah tahun depan, dan terus rendah pada 2024 dengan pertumbuhan ekonomi pulih secara beransur-ansur, menurut laporan Moody’s Investors Service.

Pengarah Urusan Strategi Kredit, Colin Ellis berkata kadar inflasi yang tinggi adalah luar biasa.

“Sejak 1990 bank-bank pusat di Eropah, Amerika Syarikat (AS) dan tempat lain telah melakukan peranan penting dalam mengekalkan inflasi yang rendah. Inflasi yang tinggi tahun ini akan memberi tekanan ke atas pertumbuhan, perbelanjaan dan upah sebenar.

“Namun, kami masih menjangkakan inflasi turun semula tahun depan, tanpa kejutan lain, konsisten dengan pendekatan bersifat boleh ubah adalah peranan penting yang perlu dilakukan,” katanya.

Beliau berkata sejak awal 1990-an, inflasi di banyak ekonomi utama kekal agak rendah, kerana negara-negara tersebut mewujudkan rangka kerja sasaran inflasi, lazimnya dengan bank pusat bebas menetapkan dasar monetari melalui kadar faedah atau pelonggaran kuantitatif.

Walaupun pengalaman setiap negara berbeza, namun sejak itu, kebanyakan ekonomi maju dan sedang pesat membangun utama telah membendung inflasi, sekurang-kurangnya sehingga tempoh baru-baru ini.

“Keberkesanan dasar monetari merupakan kunci antara banyak faktor yang mempengaruhi dinamik inflasi dalam ekonomi masing-masing.

“Analisis dan pemodelan kami menemui bukti bahawa dinamik inflasi dalam kebanyakan ekonomi Kumpulan 20 (G-20) berubah secara ketara apabila mereka memulakan sasaran inflasi sejak 30 tahun lepas,” katanya.

Tidak termasuk AS, negara-negara Kesatuan Eropah dan China, negara G-20 berikut telah menerima pakai sasaran inflasi sejak 1990: Australia (Aaa stabil), Brazil (Ba2 stabil), Kanada (Aaa stabil), India (Baa3 stabil), Indonesia (Baa2 stabil), Jepun (A1 stabil), Korea Selatan (Aa2 stabil), Mexico (Baa1 negatif), Rusia dan Afrika Selatan (Ba2 stabil), Turki (B2 negatif), dan United Kingdom (Aa3 stabil).

Arab Saudi (A1 stabil) mengekalkan tambatan mata wang berbanding dolar. Pengalaman Argentina (Ca stabil), dengan sasaran inflasi bermula pada 2016 dan berakhir hanya 25 bulan kemudian pada 2018.

— BERNAMA

PALING POPULAR

Copyright © 2021

To Top