Umum

Inisiatif Solar Boleh! galak lebih ramai pasang solar di kediaman

Gambar Facebook

Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (Petra) memperkenalkan program Solar Boleh!, satu inisiatif membolehkan lebih ramai turut serta pemasangan solar di kediaman.

Program Solar Boleh! dijayakan menerusi kerjasama Petra bersama AEON Group, Bank Simpanan Nasional (BSN), dan SOLS Energy.

Menurut Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof, program di bawah Inisiatif Solar Peralihan Tenaga untuk Rakyat (Inisiatif Solar@Petra) bagi menggalakkan rakyat terima manfaat agenda peralihan tenaga negara.

Menteri Petra itu berkata menerusi kerjasama awam-swasta itu, langganan pemasangan solar boleh dilakukan secara mudah di cawangan AEON di seluruh negara dengan faedah tertentu ditawarkan kepada pemegang kad AEON seperti mendapat dua kali ganda mata ganjaran.

“Akses lebih luas ini turut disokong melalui kemudahan pembiayaan solar oleh BSN kepada penjawat awam, selain SOLS Energy menawarkan kaedah sifar modal kepada pengguna domestik, menjadikan pemasangan solar lebih bersifat mampu bayar untuk rakyat,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan program itu.

Fadillah turut berkata Program Solar Boleh! merupakan tambahan kepada program rebat solar yang diperkenalkan kerajaan awal April lalu, iaitu Skim Insentif Solar Rakyat (SolaRIS) yang sedang dilaksanakan Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Beliau berkata kementerian itu akan terus melaksanakan semua usaha dan inisiatif yang dikenal pasti ke arah mengurangkan jejak karbon.

“Selain meneruskan penjanaan tenaga boleh baharu secara komersial dan berskala utiliti, tumpuan meningkatkan kapasiti penjanaan daripada sumber solar, turut diberikan terhadap usaha untuk meluaskan lagi pemasangan sistem solar fotovoltaik (PV) bagi segmen pengguna domestik.

“Ini khususnya dengan memanfaatkan ruang bumbung di premis bangunan dan kediaman untuk penjanaan elektrik daripada sumber solar,” katanya.

Terdahulu, Fadillah berkata kementeriannya akan bekerjasama dengan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan TNB bagi memastikan lebih banyak rakyat dapat menyertai program pemasangan solar di kediaman mampu milik.

PALING POPULAR

To Top