2 anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Lahad Datu cedera dalam kejadian tembak menembak di perairan Kunak pada 8.40 pagi tadi.
Menurut Pengarah Zon Maritim Lahad Datu, Suzanna Razali Chan anggota berkenaan Zainal Abad Komel, 45, cedera di mata kanan dan Prayrie De Cuella Jimin, 35, cedera di kedua-dua belah tangan.
Kejadian itu berlaku apabila sepasukan anggota Maritim Malaysia yang menaiki Bot Banggi 48 cuba menghampiri sebuah bot enjin sangkut berwarna biru untuk pemeriksaan dalam Op Khas Pagar Laut.
“Apabila pasukan peronda cuba menghampiri, tiga suspek bersenjatakan pistol telah melepaskan empat das tembakan ke arah anggota Maritim Malaysia bagi mengelak bot peronda menghampiri mereka.
“Suspek kemudian berjaya melepaskan diri,” katanya dalam kenyataan.
Bagaimanapun empat lagi anggota Maritim Malaysia yang terlibat dalam kejadian itu tidak mengalami sebarang kecederaan.
Maritim Malaysia telah mengatur gerak Pasukan Tindakan Khas dan Penyelamat, pesawat udara dan Bahagian Perisikan Maritim bersama pasukan daripada Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) ke lokasi terbabit bagi menyiasat kes ini dan mengesan semua suspek terlibat.
Kedua-dua anggota maritim tersebut telah dibawa ke Hospital Kunak untuk rawatan segera.