Umum

Penduduk disyorkan kurangkan penggunaan air sebanyak 10%

Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) menasihatkan penduduk Pulau Pinang mengurangkan penggunaan air sebanyak 10% mulai bulan ini sehingga Jun, bagi memastikan bekalan air di negeri itu mencukupi.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), K Pathmanathan, pengguna juga dinasihatkan supaya berhemat menggunakan air sehingga hujan tiba, bagi menambah simpanan air mentah Empangan Air Itam dan Empangan Teluk Bahang.

“Pada Mac lepas, PBAPP merekodkan 66.5mm hujan di kawasan tadahan air (KTA) Empangan Air Itam dan telah berusaha untuk menstabilkan kapasiti efektif empangan ini, melalui pelaksanaan Pelan Tindakan Empangan Air Itam 2024 (AIDAP2024).

“Kapasiti efektif empangan turun dua peratus dalam tempoh 31 hari, sementara kapasiti efektif Empangan Teluk Bahang turun 11% dalam tempoh sama dan taburan hujan yang direkodkan di KTA Empangan Teluk Bahang ialah 133mm pada Mac,” katanya dalam kenyataan.

Pathmanathan berkata kapasiti efektif maksimum Empangan Teluk Bahang ialah 18,240 juta liter (ML), manakala kapasiti efektif Empangan Air Itam ialah 2,160ML.

Ramalan cuaca antarabangsa menyatakan, fenomena El Nino yang menyebabkan cuaca panas dan kering pada suku pertama 2024, berkemungkinan memberi laluan kepada fenomena La Nina di mana cuaca lembap dan hujan lebat yang akan bermula dari Mei, Jun, atau Julai tahun ini.

“METMalaysia meramalkan hujan sederhana untuk Pulau Pinang pada April, Mei, Jun dan Julai ini.

“Bagaimanapun, ini adalah ramalan dan kita tidak pasti bahawa hujan sebenar akan mencukupi untuk meningkatkan kapasiti efektif Empangan Air Itam dan Empangan Teluk Bahang dengan ketara,” ujarnya.

 

PALING POPULAR

To Top