Umum

Ismail Sabri nafi perbelanjaan 2020-2022 tak direkod dalam akaun

Perbelanjaan langsung Kerajaan Persekutuan hanya sebanyak RM110 bilion dan peruntukan tersebut telahpun diluluskan sebulat suara oleh Dewan Rakyat, kata bekas Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau juga menjelaskan bahawa nilai keseluruhan lapan pakej rangsangan yang diperkenalkan kerajaan ialah berjumlah RM530 bilion.

“Nilai keseluruhan 8 pakej rangsangan adalah RM530 bilion di mana sebahagian besar tidak melibatkan perbelanjaan Kerajaan (seperti moratorium pinjaman oleh bank),” katanya dalam kenyataan semalam.

Beliau menjawab fitnah yang dilemparkan sesetengah pihak bahawa pakej rangsangan tidak direkodkan dalam akaun kerajaan dari 2020 hingga 2022.

“Saya ingin menegaskan bahawa dakwaan ini tidak benar dan kesemua perbelanjaan Kerajaan yang berkaitan telah direkodkan dalam penyata kewangan kerajaan,” kata Ahli Parlimen Bera itu.

Untuk rekod, semua pakej rangsangan itu diperkenalkan bagi membantu rakyat untuk berdepan pandemik Covid-19 yang melanda sejak akhir 2019 dan sehingga kini belum berakhir sepenuhnya.

Kerajaan Perikatan Nasional pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin memperkenalkan pelbagai pakej membantu rakyat sejak 2020, sebelum disambung Ismail Sabri yang juga Perdana Menteri kesembilan.

Bagaimanapun, setelah kerajaan PH-DAP kembali menjadi kerajaan dengan diketuai Anwar Ibrahim, isu berhubung perbelanjaan dan pakej rangsangan menangani masalah rakyat susulan pandemik Covid-19 dibangkitkan semula.

Pemimpin PH-DAP dan penyokong mereka membuat tuduhan tanpa mengemukakan bukti dan tidak pula melaporkan kepada pihak berkuasa, khususnya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Sumber: Agenda Daily

PALING POPULAR

To Top