Umum

Isu telur dan sayur pun tak boleh selesai, sindir Gerakan

Gerakan menyindir kerajaan berhubung caranya menangani masalah bekalan telur ayam dalam pasaran serta kenaikan harga sayur-sayuran.

Timbalan pengerusinya Oh Teong Keong berkata jika masalah kecil seperti itu pun tidak dapat diselesaikan,  adakah kerajaan boleh diharap untuk menerajui pembangunan ekonomi negara.

Merujuk kepada dakwaan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) yang mendakwa harga sayur-sayuran meningkat sehingga 160 peratus sejak sebulan yang lalu, Oh mempersoalkan tindakan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dalam menangani masalah itu. 

“Harga sayur-sayuran telah meningkat sebanyak 160 peratus pada bulan lalu, mengapa kerajaan tidak mengambil sebarang tindakan? 

“KPDN harus menyiasat punca kenaikan harga sayur-sayuran supaya rakyat berpendapatan rendah tidak terjejas, dan pada masa sama mengambil tindakan terhadap mereka yang menaikkan harga tanpa sebab dan melanggar peraturan 2010 Kawalan Harga dan Akta Antipencatutan,” katanya.

Pengarah KPDN Pulau Pinang S Jegan semalam mengakui terdapat kenaikan harga 10 jenis sayuran, tetapi katanya tidaklah kerana seperti didakwa CAP, sehingga 160 peratus, dalam tempoh sebulan.

Menurutnya, tomato, timun, kacang buncis, kacang panjang, sawi dan lada benggala merah mencatat kenaikan harga antara 4.03 peratus hingga 71.43 peratus selain terung panjang, bendi, kubis bunga dan lada benggala hijau.

Malah, Jegan berkata, terdapat beberapa premis menurunkan harga 10 jenis bahan mentah dan sayuran hingga melibatkan penurunan sehingga 20.04 peratus.

Dalam kenyataan hari ini, Oh menggesa kerajaan menyelia proses pasaran sayur-sayuran dan pemborongan domestik bagi mengelakkan wujudnya orang tengah yang mengaut keuntungan besar. 

Sementara itu, Oh turut mendakwa kualiti telur import dari India tidak setanding dengan harga purata sebiji telur. 

“Sebenarnya, kerajaan boleh menaikkan harga siling kepada 50 sen, atau memberi subsidi yang lebih tinggi kepada penternak telur bagi menggalakkan penternak telur tempatan meningkatkan pengeluaran. 

“Situasi ini kerana telur yang diimport dari India juga dijual pada harga 50 sen sebiji di pasaran, lebih mahal daripada harga siling yang ditetapkan kerajaan. 

“Pendekatan kerajaan ini seolah-olah menghukum penternak telur tempatan secara berniat jahat,” katanya. 

Sumber: MalaysiaKini

PALING POPULAR

Copyright © 2021

To Top