Umum

“Harga beras ini terus naik dan saya minta jawapan” – Shahidan

Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim membangkitkan kenaikan harga beras sebelum bermulanya sesi jawapan menteri di Dewan Rakyat pada Isnin.

Menurutnya, kenaikan harga beras yang berlaku sekarang amat membimbangkan dan tegasnya, isu tersebut harus dibawa dan dibahaskan di Parlimen.

Tambahnya, kerajaan perlu hentikan segala peruntukan dan pembangunan dan fokus kepada kenaikan harga beras.

“Rakyat menjerit di bawah sana harga beras naik dan harga barang naik. Saya minta kerajaan kalau nak buat apa berhenti dahulu dan fokus kepada untuk turunkan harga beras.

“Harga beras ini terus naik dan saya minta jawapan,” katanya di Dewan Rakyat.

Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Ramli Md Nor berkata, Dewan mengambil maklum akan usul tersebut dan akan dimuktamatkan oleh Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul.

“Saya ambil maklum dan apa yang saya fahamkan apa yang dibangkitkan oleh (Ahli Parlimen) Arau dalam pertimbangan Yang di-Pertua Dewan.

“Apa yang dibangkitkan Arau ada dalam pertimbangan Dewan Rakyat dan masalah ini dalam pertimbangan dan akan dijawab oleh Menteri, jadi tidak perlu dipanjangkan,” jawab Ramli.

Begitupun, usul dikemukakan Shahidan ditolak Ramli dengan alasan 55 Ahli Dewan Rakyat telah membangkitkan perkara sama kepada dewan.

Ramli kemudian mengarahkan sesi penggulungan oleh Kementerian-kementerian mengenai laporan Kajian Separuh Penggal (KSP) di bawah Rancangan Malaysia Ke 12 (RMK-12) pada Isnin.

Sumber: Astro Awani

PALING POPULAR

To Top