Umum

Jalan Masjid India selamat dikunjungi, DBKL

Gambar Hiasan

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menyatakan Mesyuarat Task Force Insiden Tanah Jerlus Masjid India yang diadakan semalam memutuskan bangunan dan kawasan Jalan Masjid India adalah selamat untuk dikunjungi.

Dalam kenyataan, DBKL memaklumkan berdasarkan laporan pelbagai agensi berkaitan, kejadian tanah jerlus di jalan berkenaan sebelum ini adalah bersifat setempat.

Merujuk kepada maklumat geologi dan rekod penyiasatan tanah sedia ada, lokasi insiden tanah jerlus terletak atas formasi Kenny Hills dan secara amnya terdiri daripada selang lapis batuan syis, filit dan kuarzit, menurut kenyataan itu.

Mesyuarat itu yang dipengerusikan Pengarah Eksekutif Pengurusan Projek DBKL Mohamad Hamim, disertai agensi berkaitan bagi melaporkan hasil dapatan masing-masing.

Ini termasuk wakil Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Mineral dan Geosains (JMG), Polis, Jabatan Bomba dan Indah Water Konsortium (IWK), katanya.

Selain itu, Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (Jupem), Institusi Jurutera Malaysia (IEM) dan Pertubuhan Geoteknikal Malaysia (MGS).

DBKL turut memaklumkan pihaknya kini sedang mengecilkan kawasan hoarding atau dinding adang di tapak kejadian berbanding kawasan hoarding yang sebelum ini sepanjang 160 meter bermula dari Wisma Yakin hingga Pondok Polis Jalan Masjid India.

Menurut DBKL kawasan hoarding yang baharu akan dibahagikan kepada tiga bahagian iaitu dari susur masuk tempat letak kereta bawah tanah Wisma Yakin hingga simpang Jalan Masjid India/Lorong Bunus 1; di kawasan mendapan kedua iaitu di hadapan Pondok Polis Masjid India; dan sebahagian Lorong Tuanku Abdul Rahman 3.

 

 

PALING POPULAR

To Top