Resorts World Genting (RWG), resort bersepadu terkemuka di Malaysia, buat pertama kalinya menganjurkan Ekspo Genting SustainBiz F&B di Pusat Konvensyen Antarabangsa Genting.
Ekspo hijau pertama yang diadakan pada ketinggian 6,000 kaki di atas paras laut disambut dengan penuh semangat oleh Spencer Lee, Naib Presiden Eksekutif Jualan, Pemasaran, dan Perhubungan Awam RWG.
Beliau berkata, “Ekspo Genting SustainBiz F&B dirangka untuk mempamerkan dinamik transformasi sektor makanan dan minuman (F&B) dan MICE di Malaysia. Fokus kami terhadap F&B yang lestari adalah selaras dengan komitmen kami yang terus berkembang terhadap pembangunan mampan di kawasan perbukitan ini.”
“Kami berhasrat untuk mencapai tahap yang setanding dengan FHA-HoReCa di Singapura, dengan matlamat menjadikan Malaysia sebagai pusat utama MICE serantau untuk makanan dan minuman lestari,” tambahnya.
Majlis pembukaan ini dirasmikan oleh Yang Berhormat Khairul Firdaus Akbar Khan, Timbalan Menteri Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia.
Dalam majlis tersebut, tujuh (7) chef daripada Superchef Squad Resorts World Genting telah dianugerahkan lencana sebagai pengiktirafan atas sumbangan mereka yang tidak ternilai kepada industri makanan dan minuman. Anugerah tersebut disampaikan oleh Presiden dan Ketua Pegawai Operasi RWG, Lee Thiam Kit, dan disaksikan oleh Jenniffer Ong, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan HAPA, serta Peter Dewey Foster, Naib Presiden Eksekutif Hiburan, Hospitaliti, dan Gaya Hidup.
Penandatangan lima (5) Memorandum Persefahaman (MoU) bernilai keseluruhan RM12 juta diumumkan sempena Ekspo Genting SustainBiz F&B. Penandatangan MoU pertama dimulakan dengan MoU bersama Nestle Malaysia, untuk pembekalan produk berasaskan tumbuhan Harvest Gourmet bagi kegiatan MICE serta outlet makanan dan minuman di resort ini.
Seterusnya, penandatanganan MoU bersama Fraser & Neave (F&N) bertujuan meneroka penggunaan air mineral dalam pembungkusan karton Tetra Pak yang 100% boleh dikitar semula, dengan matlamat mengurangkan penggunaan plastik dan botol pakai buang di resort ini.
Selain itu, RWG turut menandatangani MoU ketiga bersama PNH Malaysia yang memfokuskan kepada penggunaan semula sisa makanan, yang akan diubah menjadi serbuk karbon untuk menghasilkan kemudahan hotel seperti berus gigi, sikat rambut, dan peralatan makan untuk kegunaan di resort ini.
Turut menghadiri majlis penandatanganan ini adalah Spencer Lee, Naib Presiden Eksekutif Jualan, Pemasaran, dan Perhubungan Awam RWG, yang mewakili pihak resort. Lee Thiam Kit, Presiden dan Ketua Pegawai Operasi RWG juga turut menyaksikan acara ini. Yit Woon Lai, Ketua Nestle Professional Malaysia- Singapura; Lee Lay Yean, Pengarah Komersial Premier Milk, ahli Kumpulan F&N; dan Jian Tat Lee, Ketua Pegawai Operasi PNH Malaysia, masing-masing mewakili syarikat mereka dalam majlis tersebut.