Umum

JPJ Lanjut Tawaran Bayaran Saman RM150 Hingga Disember 2025 — 2 Juta Saman Masih Belum Diselesaikan

Berita baik untuk pemilik kenderaan yang masih belum sempat selesaikan saman! Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Malaysia hari ini mengumumkan bahawa tawaran bayaran kadar kompaun khas serendah RM150 kini dilanjutkan hingga 31 Disember 2025.

Tawaran ini sebelum ini sepatutnya tamat pada 30 Jun, tetapi dilanjutkan bagi memberi peluang kepada lebih ramai orang menyelesaikan saman tertunggak — sebelum kenderaan mereka disenarai hitam secara automatik bermula 1 Julai 2025.

Hanya untuk Tiga Jenis Saman

Tawaran khas ini hanya sah untuk saman-saman berikut:

  1. Saman AwAS (dikeluarkan sejak Oktober 2018 hingga kini),
  2. Notis 114 (panggilan temu siasat) bagi tahun 2024 dan ke bawah,
  3. Notis 115 (permintaan butir-butir pemandu) bagi tahun 2024 dan ke bawah.

Masih Lebih 2 Juta Saman Tertunggak

Setakat 30 Jun 2025, JPJ merekodkan hanya 442,870 saman telah dijelaskan melalui tawaran ini sejak ia mula dilancarkan pada 2 Januari lalu. Namun begitu, masih terdapat lebih 2 juta saman tertunggak yang belum dibayar!

Statistik mengikut kategori:

Kategori Selesai Tertunggak
Saman AwAS 412,256 1,542,135
Notis 114 24,709 311,866
Notis 115 5,905 171,321
Jumlah 442,870 2,025,322

Jangan Tunggu Sampai Kenderaan Disenarai Hitam

Menurut JPJ, kegagalan menjelaskan saman yang boleh dikompaun sebelum tarikh akhir boleh menyebabkan kenderaan anda disenarai hitam secara automatik oleh sistem — bermula 1 Julai 2025.

Cara Bayar Saman dengan Mudah

Pembayaran saman boleh dibuat melalui beberapa saluran rasmi JPJ, (tidak termasuk MyEG dan Pejabat Pos Malaysia):

  • Aplikasi MyJPJ
  • Portal awam mySIKAP
  • Kios JPJ
  • JPJ Mobile
  • Kaunter JPJ

Untuk maklumat lanjut, orang ramai digalakkan melayari portal rasmi JPJ di www.jpj.gov.my atau hubungi JPJ negeri/cawangan terdekat.

 

PALING POPULAR

Copyright © 2021

To Top