Buletin

Jumlah mangsa banjir di Kedah kembali meningkat

Jumlah mangsa banjir di negeri ini kembali meningkat apabila seramai 239 mangsa dari 63 keluarga ditempatkan di lima pusat pemindahan sementara (PPS) di dua daerah berikutan hujan lebat malam tadi.

Ketua Bahagian Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah, Mejar (PA) Mohd Muaz Mohd Yusof berkata, setakat jam 8 pagi ini, empat PPS dibuka di Baling manakala satu PPS di Pendang dibuka sejak Khamis minggu lalu.

Beliau berkata, PPS Banggol Derom dan Sekolah Kebangsaan (SK) Titi Gantung di Baling yang ditutup semalam, dibuka semula malam tadi.

“PPS Banggol Derom dibuka semula jam 11.45 malam tadi dengan menempatkan 46 mangsa dari 11 keluarga manakala PPS SK Titi Gantung yang dibuka jam 2.10 pagi tadi menempatkan seramai sembilan mangsa dari dua keluarga.

“Dua lagi PPS di Baling iaitu SK Tanjung Pari dibuka jam 9 malam tadi menempatkan seramai 26 mangsa dari lapan keluarga dan PPS SK Siong dibuka jam 10.25 malam tadi menempatkan 21 mangsa juga dari lapan keluarga,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI hari ini.

Mohd Muaz berkata, jumlah keseluruhan mangsa banjir di daerah Baling adalah seramai 102 mangsa dari 29 keluarga.

Sementara itu katanya, satu PPS di Dewan Rakan Sukan Tanah Merah di daerah Pendang pula masih kekal 137 mangsa dari 34 keluarga

PALING POPULAR

To Top