Buletin

Kadar faedah pinjaman dijangka naik dua kali

Bank Negara Malaysia (BNM) dijangka menaikkan kadar faedah bermula separuh kedua tahun ini, dengan kemungkinan dua kali kenaikan sebanyak 25 mata asas atau 0.25 peratus setiap satu, demikian menurut AmInvest Research.

Ahli ekonomi firma penyelidikan pasaran itu mengekalkan pandangan bahawa Amerika Syarikat (AS) dijangka menaikkan kos pinjamannya antara tiga hingga empat kali tahun ini dan akan terus berbuat demikian sehingga ia mencecah 2.50 hingga 2.75 peratus.

“Kami percaya bahawa momentum pertumbuhan ekonomi, peningkatan inflasi dan menangani perbezaan kadar faedah akan menjadi faktor utama yang menyokong kenaikan kadar.

“Inflasi dijangka kekal tinggi dalam jangka terdekat ini walaupun ia mungkin berada dalam trend penurunan sepanjang tahun.

“Bagaimanapun, kita tidak boleh mengambil mudah kesan harga tenaga yang lebih tinggi kepada inflasi, perolehan korporat dan pertumbuhan di seluruh dunia,” katanya dalam satu nota.

Ia berkata, kadar faedah yang lebih tinggi akan memberikan manfaat kepada dua sektor iaitu perbankan dan sarung tangan getah.

Jelasnya, kadar faedah lebih tinggi akan meningkatkan margin faedah bersih (NIM) bank, dengan kadar pinjaman akan ditetapkan melebihi kadar deposit, sekali gus menghasilkan pendapatan faedah bersih yang lebih tinggi.

“Dari segi sensitiviti kadar faedah, kebiasaannya kenaikan 25 mata asas kadar dasar semalaman (OPR) akan mengembangkan NIM bank sebanyak tiga hingga empat mata asas, meningkatkan lagi keuntungan bersih banyak antara satu hingga dua peratus.

“Bank dengan gabungan kadar terapung dan pinjaman domestik lebih tinggi akan meraih lebih banyak manfaat kenaikan OPR. Kami memberikan saranan ‘Overweight’ terhadap sektor ini,” katanya.

Sementara itu, AmInvest Research berkata, kadar faedah lebih tinggi akan diterjemahkan kepada pendapatan faedah lebih baik bagi syarikat-syarikat sarung tangan.

Ia berkata, ketiga-tiga syarikat sarung tangan di bawah liputannya kini berada dalam kedudukan tunai bersih.

“Bagaimanapun, kami mengekalkan saranan ‘Neutral’ terhadap sektor ini memandangkan harga jualan purata masih lagi dalam trend penurunan,” katanya.

Sumber: Berita Harian

PALING POPULAR

To Top