Umum

Kaji selidik dapati 86.9 peratus setuju konsep Malaysia Madani

Sejumlah 86.9 peratus daripada 8,860 responden di seluruh negara menyatakan mereka bersetuju dengan konsep Malaysia Madani, menurut Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil.

Beliau berkata, hasil kaji selidik yang dijalankan Jabatan Penerangan kira-kira lima bulan lepas itu turut mendapati 68.1 peratus responden menyatakan bahawa mereka memahami konsep berkenaan.

“Ini adalah petanda positif… di pihak kementerian kita ambil maklum dan berusaha untuk memastikan bahawa ia bukan seperti Yang Berhormat Senator katakan tadi, sekadar retorik.

“… ini memang jelas daripada usaha dan ikhtiar kerajaan dari segi ekonomi, menjaga tatasusila dalam kalangan masyarakat, keharmonian, perpaduan, keutuhan masyarakat itu sendiri dan diterjemah lebih daripada semata-mata slogan atau konsep. Alhamdulillah pada waktu ini, hasil ekonomi dan pelaburan yang masuk dan sebagainya memang jelas ia mendatangkan hasil yang positif kepada rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Senator Datuk Dr Azhar Ahmad yang ingin tahu sejauh mana hasil usaha kerajaan bagi menyebarkan informasi serta kefahaman kepada rakyat mengenai konsep Malaysia Madani.

Selain itu, Fahmi berkata, hasil kaji selidik Jabatan Penerangan pada 28 Januari hingga 5 Februari lepas, iaitu kira-kira seminggu selepas Malaysia Madani diperkenalkan dan dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebanyak 79.9 peratus daripada 8,860 responden mempunyai pengetahuan mengenai perkara itu.

Sementara itu, beliau berkata, pelbagai program sedang dan akan dilaksanakan Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) melalui jabatan serta agensi termasuk Kita Madani, Jalinan Insan Wahana Aspirasi (JIWA), Hebahan Info On Wheels (IOW) dan persembahan Edutainment (didik hibur).

Beliau berkata, hebahan melalui media sosial dan digital turut dilaksanakan melibatkan perkongsian maklumat infografik dan videografik daripada pelbagai kementerian dan agensi-agensi kerajaan menerusi platform media digital seperti Instagram, Facebook, YouTube dan TikTok.

Katanya, setakat 25 Jun 2023, sebanyak 721 hantaran merangkumi pelbagai mesej Malaysia Madani disebar luas di semua platform media sosial rasmi Jabatan Penerangan, hantaran itu telah mendapat 1.3 juta reach dan 439,000 engagement.

Fahmi berkata, Jabatan Penyiaran Malaysia (RTM), Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) turut menyebarluaskan konsep Malaysia Madani melalui pelbagai program.

Sumber: Sinar Harian

PALING POPULAR

To Top