Menteri pelaburan, perdagangan dan industri Tengku Zafrul Aziz membidas tiada usaha Umno Selangor untuk memperbaiki keadaannya setelah mengalami kekalahan teruk pada PRN lalu yang sepatutnya menjadi amaran untuk segera berubah.
Tengku Zafrul yang meletak jawatan bendahari Umno Selangor, Isnin lalu, mendakwa tiada post mortem mendalam bagi mengenal pasti punca hanya berjaya menang 2 daripada 12 kerusi DUN ditandingi serta tiada strategi baharu menawan hati rakyat.
“Kalau keputusan ini masih belum celikkan Umno Selangor, tiada apa boleh celikkan mereka,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Beliau turut menegaskan lebih baik untuk dirinya menumpukan usaha memantapkan parti di peringkat pusat serta bahagian.
Walaupun meletak jawatan bendahari Umno Selangor, Tengku Zafrul kekal sebagai ahli majlis kerja tertinggi dan ketua Umno Kota Raja.
Dalam hantaran Facebook yang sama, Ketua Umno Kota Raja itu turut menyuarakan cadangan beberapa langkah untuk mengembalikan kegemilangan Umno Selangor.
Sebagai contoh, beliau mencadangkan agar satu kajian sikap yang ikhlas melambangkan denyut nadi keseluruhan rakyat Selangor dilaksana manakala operasi organisasi juga perlu dimodenkan parti berkenaan di negeri itu.
“Perlunya sebuah organisasi yang kos efektif malah pantas berkomunikasi, terbuka dengan idea dari akar umbi, meletakkan cadangan dasar sebagai keutamaan serta mengguna pakai data dan analisa dengan tepat,” katanya.
Beliau turut menekankan keperluan Umno Selangor mencari pelapis dengan hati terbuka kerana rakyat yang akhirnya “menghakimi” organisasi parti melalui pemimpin yang ditonjolkan.
“Rangka kerjasama yang wujudnya situasi menang-menang dengan rakan-rakan kita di negeri Selangor. Dan yang paling penting, kita perlu terapkan buang ‘cah keting’ tidak sihat dengan mengamalkan budaya intelektual dan fokus kepada solusi dan dasar.
“Jika kita tidak ubah budaya, tidak kiralah tebal mana pelan visi kita, akhirnya kita akan kekal tanpa kuasa.
“Saya masih komited dengan Umno Bahagian Kota Raja dan Umno Selangor. Saya yakin bahawa kita semua berkongsi impian yang sama, iaitu untuk melihat parti kembali relevan dan dihormati rakyat Selangor,” katanya.