Umum

Kanak-kanak 2 tahun keracunan nikotin lepas tertelan cecair vape

Seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun mungkin mengalami keracunan nikotin akut selepas dipercayai tertelan cecair daripada peranti rokok elektronik (vape) jenis pakai buang dalam insiden di Bera, Pahang pada 30 Mei lepas.

Kementerian Kesihatan (KKM) dalam kenyataan memaklumkan mangsa telah dirujuk ke Hospital Sultan Ahmad Shah di Temerloh kerana memerlukan bantuan pernafasan di Unit Rawatan Rapi Kanak-Kanak.

“Kanak-Kanak ini dilaporkan mengalami sawan sebanyak dua kali ketika dalam rawatan. Terkini, keadaan pesakit adalah stabil dan bernafas tanpa bantuan alat pernafasan dan dipantau oleh pihak hospital,” menurut kenyataan pada malam tadi..

Menurut KKM, pada hari kejadian, mangsa yang tidak mempunyai sejarah penyakit kronik ditemui datuknya dalam keadaan batuk, muntah serta sesak nafas dan terdapat peranti rokok elektronik jenis pakai buang berhampiran mangsa.

“Kanak-Kanak ini dipercayai tersedut atau tertelan cecair daripada peranti rokok elektronik jenis pakai buang.

Kenyataan itu menyebut pada mulanya kejadian tersebut dilaporkan sebagai kemungkinan kes kecederaan paru-paru yang dikaitkan dengan rokok elektronik (EVALI) namun hasil penemuan klinikal mendapati ia tidak memenuhi kriteria EVALI.

“Keputusan ujian air kencing menunjukkan kehadiran nikotin pada paras yang tinggi. Peranti rokok elektronik yang ditemui telah dihantar ke makmal untuk ujian lanjut,” katanya.

Menurut kenyataan itu, kanak-kanak tersebut disahkan menghidapi Acute Life Threatening Event Secondary To Possible Alleged Nicotine Ingestion Complicated With Seizure.

Justeru, KKM menasihati orang ramai bahawa sebarang penggunaan produk merokok termasuk rokok elektronik adalah berbahaya kepada kesihatan.

“Keracunan nikotin akibat penggunaan tembakau atau cecair rokok elektronik boleh menyebabkan kesan akut seperti debaran jantung atau palpitation, muntah dan sawan.

“Ia boleh terjadi kepada semua pengguna termasuk kanak-kanak. Kesan nikotin yang tinggi serta pendedahan nikotin untuk jangka masa panjang terutama kepada kanak-kanak akan menyebabkan pertumbuhan otak terjejas,” katanya.

– Bernama

PALING POPULAR

To Top