Umum

Kapal OPV1 antara 15 kapal sertai Eksesais Maritim Perkasa Barat 2023

Gambar Sinar Harian

Kapal Peronda Luar Persisir Pertama (OPV1) antara 15 buah Kapal Maritim (KM) milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) yang menyertai Eksesais Maritim Perkasa Barat 2023.

Menurut Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Hamid Mohd Amin, pihak TH Heavy Engineering Berhad (THHE) kini sedang melakukan fasa ‘sea trial’ terhadap OPV1 dan ia kini belayar memasuki kawasan Pulau Pinang bersama-sama kapal lain.

Beliau berkata, penyertaan kapal berkenaan dalam eksesais yang dilaksanakan oleh agensi itu adalah bertepatan dengan matlamat bagi menguji kemampuan sepenuhnya OPV1 sebelum ia diserahkan secara rasmi kepada Maritim Malaysia.

“Kapal yang berada dalam fasa ‘sea trial’ itu diuji selama empat hari bermula 28 November hingga 1 Disember dengan menempuh jarak sepanjang 630 batu nautika perairan Selat Melaka bermula dari Pelabuhan Klang dan akan tiba di Pulau Langkawi,” katanya.

Turut hadir, Pengarah Ekesais, Kepten Maritim Shahref Steve Mac Queen Abdullah dan Pegawai Pemerintah KM Pekan, Kepten Maritim Mohd Yusri Hussin.

Hamid berkata, beliau berharap kesemua kapal yang mengikuti eksesais pada kali ini mencapai tahap yang dihasratkan.

Ketua Pengarah agensi itu turut berharap ia dapat meningkatkan kompetensi hampir 500 orang pegawai dan anggota Maritim Malaysia yang menyertai eksesais itu, dan persediaan dengan keadaan operasi sebenar di masa akan datang.

OPV1 bernombor 8305 berukuran 83 meter panjang dengan lebar 13.7 meter berkeupayaan melakukan operasi di laut dalam jangka waktu maksimum 21 hari tanpa ulang bekal.

Ia juga dilengkapi dengan UAV, Meriam 30mm Smash Aselsan, berkelajuan 21 knot dengan menggunakan fasiliti seperti tapak pendaratan helikopter, bot jenis Rigid Hull Inflatable Boat (RHIB) serta bilik tahanan.

 

 

Sumber Sinar Harian

PALING POPULAR

To Top