Umum

Kebakaran di kediaman Koo Ham, suspek ditahan tiada kaitan politik

Polis mengesahkan lelaki yang ditahan disyaki terlibat dalam kebakaran kediaman Ahli Parlimen Beruas, Datuk Ngeh Koo Ham di Taman Semarak Jaya di Ayer Tawar, Rabu lalu bukan ahli politik.

Menurut Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri, siasatan awal dijalankan mendapati individu berusia 30-an itu tidak mewakili mana-mana parti di Ipoh.

Beliau berkata, siasatan kes itu masih dijalankan termasuk mengetahui motif sebenar kejadian sama ada berunsur dendam atau sebab lain.

Lelaki berkenaan telah ditahan sekitar jam 4 pagi di Shah Alam, Selangor pada Jumaat dengan perintah reman diperolehi selama lima hari sehingga Selasa depan bagi siasatan kes di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan.

Polis sebelum ini tidak menolak kemungkinan kebakaran berlaku akibat perbuatan khianat susulan penemuan bahan letupan dipercayai ‘molotov cocktail’ yang menjadi punca kebakaran berlaku.

Terdahulu, media melaporkan dalam kejadian sekitar jam 3 pagi itu, kebakaran hanya melibatkan kemusnahan sebuah kereta Mercedes Benz E300 dan kerosakan kepada dua kenderaan lain iaitu jenis Honda CRV dan Toyota Hilux.

Pemimpin DAP tersebut bersama ahli keluarganya tidak mengalami sebarang kecederaan.

PALING POPULAR

To Top