Sports

Kecederaan belakang paksa Zii Jia tarik diri dari Masters Indonesia

Kempen pemain badminton perseorangan lelaki utama negara Lee Zii Jia di Masters Indonesia berakhir hari ini selepas beliau menarik diri pada pusingan pertama akibat kecederaan belakangnya.

Pemain berusia 23 tahun yang dibenarkan bermain pada acara Jelajah Dunia BWF Super 750, memutuskan untuk menarik diri pada ketika ketinggalan 9-11 dalam perlawanan menentang pemain Denmark Rasmus Gemke, pada perlawanan pusingan pembukaan yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Bali, Nusa Dua.

Pemain nombor tujuh dunia itu sebelum ini berhenti daripada permainan pada perlawanan akhir Terbuka Hylo di Jerman pada 7 Nov, ketika perlawanan berkedudukan 21-19, 13-21 dan 12-17 berhadapan pemain Singapura kelahiran Pulau Pinang, Loh Kean Yew.

“Pinggang Zii Jia masih belum sembuh sepenuhnya dan dia masih merasai kesakitan, kita tidak akan paksa Zii Jia untuk terus bermain. Kita akan terus pantau keadaan Zii Jia, kerana masih ada kejohanan minggu hadapan,” kata ketua jurulatih perseorangan negara Hendrawan.

Zii Jia berkata, beliau telah cuba untuk bermain walaupun mengalami kecederaan, namun terpaksa berhenti disebabkan kesakitan.

“Memang kecederaan saya pun belum sembuh sepenuhnya, tapi tadi saya sudah cuba, kemudian memang masih sakit lagi. Saya rasa bukan sahaja kecederaan belakang ini, tapi badan saya pun sangat letih, mungkin ada lain-lain bahagian yang ada kecederaan,” katanya kepada RTM.

Juara All England itu berkata, dengan lebih banyak kejohanan seperti Terbuka Indonesia (23-28 Nov) dan Final BWF Dunia (1-5 Dis), beliau akan membuat keputusan mengenai penyertaannya kemudian.

Sementara itu pemenang pingat perak beregu campuran Olimpik Rio 2016 pasangan Chan Peng Soon-Goh Liu Ying sekali lagi terkeluar pada pusingan pertama selepas tewas kepada pasangan Jerman Jones Ralfy Jansen-Linda Efler pada pusingan pertama.

Pasangan nombor lapan dunia itu juga tewas pada pusingan pertama di Terbuka Hylo dan Terbuka Denmark, selain pada peringkat suku akhir Terbuka Perancis dalam tempoh beberapa minggu.

Lain-lain keputusan (pemain Malaysia kecuali dinyatakan):

Beregu Lelaki:

Lucas Corvee-Ronan Labar (FRA) mn Goh V Shem-Low Juan Shen 21-18, 21-18

Ong Yew Sin-Teo Ee Yi mn Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty (IND) 21-17, 21-15

Sabar Karyaman Gutama-Moh Reza Pahlevi Isfahani (INA) mn Tan Kian Meng-Tan Wee Kiong 13-21, 21-14, 21-17

Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani mn Kang Minhyuk-Seo Seungjae 21-10, 21-17

Beregu Wanita:

Linda Efler-Isabel Lohau (GER) mn Lee Meng Yean-Yap Cheng Wen 21-19, 21-19

Beregu Campuran:

Hoo Pang Ron-Cheah Yee Sea mn Yujiro Nishikawa-Saori Ozaki (JPN) 5-2 (tarik diri)

Cheng Tang Jie-Peck Yen Wei mn Seo Seungjae-Kim Hye Jeong (KOR) 21-17, 21-13

— BERNAMA

PALING POPULAR

To Top