Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dalam satu kenyataan hari ini berkata kelewatan menyiapkan projek Littoral Combat Ship (LCS) telah meninggalkan kesan negatif terhadap keupayaan armada tentera laut tempur.
Katanya, sebagai ‘pengguna akhir’ kelewatan pelaksanaan projek berkenaan memberi kesan negatif bukan saja kepada keupayaan tempur armada TLDM, malah kepada moral warga tentera yang memerlukan kapal LCS untuk melaksanakan tanggungjawab mereka dengan berkesan.
Kenyataan itu dikeluarkan sebagai maklum balas segera terhadap Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) mengenai projek LCS bernilai RM6 bilion.
“Pemerolehan LCS adalah perkara kritikal untuk memelihara kedaulatan dan keselamatan negara.
“TLDM ingin menyeru semua pihak untuk berganding bahu dan menyokong kelancaran pelaksanaan projek ini demi memelihara kedaulatan dan keselamatan,” katanya.
TLDM juga mengalu-alukan cadangan yang dibentangkan oleh PAC dan mahukan langkah terbaik ke hadapan dalam projek LCS. Mereka juga memerlukan keupayaan tempur lebih awal supaya ia sejajar dengan pembangunan landskap keselamatan geostrategik dan geopolitik serantau.
“TLDM menghargai keputusan yang dibuat oleh kerajaan untuk meneruskan projek ini demi kepentingan kedaulatan negara dan menyokong siasatan terhadap sebarang kebocoran dalam projek ini,” katanya.