Umum

Kempen ‘grand finale’ PRN dijangka hangat

KURANG 24 jam lagi sebelum pengundian pilihan raya negeri (PRN) yang memperlihatkan usaha-usaha akhir daripada semua parti bertanding bagi 245 Dewan Undangan Negeri (DUN) di Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu.

Pastinya pertembungan melibatkan dua kuasa iaitu gabungan Pakatan Harapan (PH)-Barisan Nasional (BN) dengan Perikatan Nasional (PN) menjadi tanda tanya siapakah yang bakal menjadi pilihan rakyat.

Tumpuan hari ini pastinya pada ceramah ‘grand finale’, sebagai platform kempen akhir untuk gabungan PH-BN atau PN mendapatkan undi rakyat untuk enam negeri berkenaan.

Pada Khamis, Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin memaklumkan bahawa beliau akan menghadiri ceramah Grand Finale PN Selangor yang akan diadakan pada Jumaat, jam 9 malam.

Muhyiddin menerusi perkongsian di akaun Facebooknya pada Khamis berkata, beliau turut menjemput orang ramai untuk bersama-sama hadir ke ceramah tersebut yang bertempat di Padang Awam Fasa 5, Taman Melawati, Kuala Lumpur bagi menutup kempen PN dalam PRN ini.

Dalam pada itu, pada Khamis, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga akan mengakhiri kempen PRN di Kedah pada Jumaat, sehari sebelum hari mengundi.

Pengerusi PH itu akan menjelajah ke beberapa daerah di negeri ini sebagai lokasi kempen ‘grand finale’.

Ia dilihat sebagai usaha terakhir pimpinan tertinggi PH-BN dan PN sebelum menanti keputusan undi daripada rakyat.

Kebiasaannya ceramah ‘grand finale’ atau kempen terakhir sebelum mengundi berbeza dengan kempen-kempen lain yang mana berkemungkinan menjadi pentas untuk parti masing-masing memainkan isu-isu penting yang boleh menjadi senjata kepada perubahan undian dalam kalangan pengundi.

Kebelakangan ini, sudah banyak isu yang dilontarkan yang boleh menjadi ‘bom jangka’ dalam mempengaruhi sentimen pengundi seperti isu 3R (kaum, agama, raja), sogokan, prestasi kepimpinan kerajaan, kos sara hidup dan kemerosotan ekonomi.

Tidak lupa juga isu perbahasan debat berhubung hal ehwal ekonomi antara Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli dan Ahli Parlimen Bachok, Syahir Sulaiman pada Rabu lalu yang dijangka dimainkan juga dalam ceramah ‘grand finale’ itu.

Usaha terakhir melalui kempen ‘grand finale’ sebelum pengundian bermula dijangka memanaskan suhu PRN sekali gus memainkan peranan penting untuk rakyat menoktahkan pilihan parti mereka.

Sumber: Sinar Harian

PALING POPULAR

Copyright © 2021

To Top