Umum

PRN: Hujan diramal di 6 negeri esok

Hujan diramal berlaku di satu dua tempat di sebelah pagi di Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan Selangor pada hari mengundi PRN enam negeri dan PRK Parlimen Kuala Terengganu, esok.

Berdasarkan maklumat di laman sesawang Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) cuaca sama dijangka berlaku di Kedah melibatkan banyak kawasan pantai serta mendung di Terengganu, manakala Kelantan diramal cuaca baik.

MetMalaysia turut meramalkan ribut petir dijangka berlaku pada sebelah petang di satu dua tempat di Pulau Pinang, Selangor dan Kedah, satu dua kawasan pedalaman Negeri Sembilan serta beberapa tempat di Kelantan dan Terengganu.

Suhu sepanjang hari berkenaan diramal 23 hingga 34 darjah Celsius.

Seramai 9.67 juta pengundi akan menunaikan tanggungjawab memilih wakil mereka di Dewan Undangan Negeri (DUN) di enam negeri pada PRN, manakala 122,160 orang layak mengundi bagi PRK Parlimen Kuala Terengganu.

Secara keseluruhan 17,048 saluran mengundi disediakan di 3,190 pusat mengundi di semua 245 kawasan DUN di enam negeri itu, manakala untuk PRK Parlimen Kuala Terengganu, 217 saluran mengundi disediakan di 41 pusat mengundi.

Sumber: FMT

PALING POPULAR

To Top