Umum

Kemungkinan anak bulan Syawal kelihatan pada Jumaat tipis – Mufti Kedah

POKOK SENA – Umat Islam dinasihatkan agar tidak berbalah dan mempercayai khabar angin tentang spekulasi tarikh Hari Raya Aidilfitri pada 1 Syawal nanti termasuk menyebarkan khabar yang belum sahih tersebut, selain menjadikan pihak tertentu sebagai sumber maklumat.

Demikian peringatan dan nasihat daripada Mufti Kedah, Datuk Syeikh Fadzil Awang yang memaklumkan seluruh Malaysia mempunyai 29 stesen cerapan untuk melihat anak bulan yang akan menentukan perkara ini.

“Berdasarkan perbincangan dengan semua sahabat-sahabat kita yang terlibat bahawa pada malam Jumaat (tarikh lihat anak bulan) itu kemungkinan untuk dapat lihat anak bulan sangat tipis dan tidak mencukupi kriteria-kriteria yang diputuskan.

“Jangan berbalah atau sebar tentang spekulasi 1 Syawal sehingga merujuk kepada Pusat Astronomi Antarabangsa bahawa 1 Syawal akan jatuh pada hari Jumaat.

“Walau apa pun keputusannya akan diumumkan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-raja pada malam itu setelah menerima laporan hasil cerapan,” katanya.

Beliau mengulas tentang pengumuman Pusat Astronomi Antarabangsa yang berpangkalan di Emiriah Arab Bersatu (UAE), yang menjangka 1 Syawal jatuh pada Jumaat, 21 April.

Syeikh Fadzil berkata, umat Islam seharusnya fokus beramal ibadat ketika ini terutama apabila memasuki 10 malam terakhir untuk mengejar Lailatul Qadar.

“Carilah Lailatul Qadar pada 10 malam terakhir Ramadan. Malah baginda mempersingkatkan tempoh itu pada malam-malam ganjil iaitu pada malam 21, 23, 25, 27 dan 29.

Sumber: Sinar Harian

PALING POPULAR

To Top