Umum

Kenyataan Muhyiddin disalah tafsir, kata Ketua Sayap Bersekutu Bersatu

Kenyataan Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin mengisytiharkan Barisan Nasional (BN) sebagai musuh utama bukan bertujuan memecah belah umat Islam, sebaliknya merujuk kepada “musuh politik”, menjelang pilihan raya umum ke-15 (PRU-15).

Ketua Sayap Bersekutu Bersatu Chong Fat Full, berkata kenyataan Muhyiddin itu hanya mahu mengingatkan BN merupakan musuh untuk ditentang pada PRU15.

Beliau berkata, kenyataan berkenaan juga dikeluarkan buat ahli parti dalam satu majlis politik dan bukannya khusus untuk masyarakat umum.

“Kenyataan itu merupakan salah satu strategi politik Bersatu bagi menaikkan semangat ahli, namun disalah tafsir oleh pihak tertentu.

“Bila disebut musuh, bukan bermaksud kita berperang, namun, ia adalah musuh politik dan pada bila-bila masa pun kita dapat berkawan juga,” katanya lapor Utusan Malaysia.

Sabtu lalu, Muhyiddin yang juga pengerusi Perikatan Nasional (PN) dalam ucapan sempena majlis sambutan ulang tahun ke-6 Bersatu, mengingatkan ahli partinya bahawa BN adalah musuh utama gabungan itu yang perlu dilawan, pada PRU-15.

Semalam, Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan, berkata partinya tidak boleh menerima pendirian melabelkan kumpulan Melayu Islam yang lain sebagai “musuh utama”, apatah lagi dalam perkara yang melibatkan kedudukan dan kuasa orang Islam.

Sementara itu, Fat Full berkata, sayap Bersekutu Bersatu akan memberi fokus bertanding di kerusi berpotensi ditandingi MCA, MIC, DAP dan PKR.

“Namun, kita serah keputusan muktamad berpandu kepada rundingan pemimpin tertinggi parti dan saya merasakan kami akan mengambil jumlah kerusi yang praktikal untuk ditandingi pada PRU-15,” katanya. – Artikel kredit Satuberita

PALING POPULAR

To Top