Umum

Kenyataan Najib hanya sekadar tohmahan dangkal – Bersatu

Kenyataan Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang mendakwa Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) cuba mewujudkan propaganda mendapat sokongan belia merupakan satu tohmahan dangkal.

Ketua Armada Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, kenyataan beliau sebelum ini mengenai Undi 18 sebenarnya menjelaskan bahawa belia perlu dididik terlebih dahulu supaya mereka bersedia sepenuhnya untuk membuat keputusan ketika mengundi.

“Itu komen yang saya dah jawab sebelum ini, sebenarnya apa yang saya maksudkan dahulu adalah belia-belia kita yang pertama kali mengundi perlukan pendedahan, pencerahan tentang politik, cara-cara mengundi dan Perlembagaan agar apabila mereka mengundi, mereka mengundi dengan ilmu bukan sentimen.

“Kita tidak mahu anak muda dibayar wang untuk mengundi pihak yang memberi wang. Jadi anak muda perlu diberi pendidikan demokrasi yang sebenarnya,” katanya kepada akhbar selepas menziarahi sebuah gereja yang musnah dalam kebakaran di Kota Kemuning, Shah Alam pada Isnin.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan, Najib mendakwa Bersatu cuba mewujudkan propaganda kononnya parti itu mendapat sokongan belia.

Najib berkata, pada awal tahun lepas, kerajaan Perikatan Nasional (PN) mengumumkan Undi 18 akan ditunda hingga selepas 1 September 2022 dengan alasan integrasi data perlukan masa.

Tambah Najib, Wan Ahmad Fayhsal kemudian mengeluarkan kenyataan bahawa belia belum bersedia untuk mengundi.

Mengulas lanjut, Wan Ahmad Fayhsal berkata, kerajaan juga telah menyediakan pelbagai platform untuk memberi pendedahan mengenai pilihan raya kepada anak muda di seluruh negara.

“Kita ada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk beri pendedahan kepada belia,” ujarnya.

Artikel asal di Sinar Harian

PALING POPULAR

To Top