Umum

Kerajaan beri kejutan cuti tambahan sempena Aidilfitri

Kerajaan bersetuju memberi satu hari kelepasan am tambahan bagi memudahkan rakyat membuat perancangan sewajarnya sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kelepasan itu adalah berdasarkan tarikh pengumuman 1 Syawal oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Khamis ini.

“Memandangkan pengumuman rasmi berhubung tarikh 1 Syawal akan dibuat pada 20 April, kerajaan bersetuju memberi satu hari kelepasan am tambahan bagi memudahkan rakyat untuk membuat perancangan sewajarnya untuk pulang ke kampung halaman.

“Sekiranya tarikh 1 Syawal jatuh pada Jumaat, (21 April) maka hari Isnin, 24 April sebagai hari kelepasan am tambahan berdasarkan Seksyen 8 Akta Hari Kelepasan 1951 bagi Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan Labuan.

“Walau bagaimanapun, sekiranya tarikh 1 Syawal jatuh pada Sabtu, (22 April) maka hari Jumaat, 21 April sebagai hari kelepasan am tambahan,” katanya pada sidang akhbar di Perdana Putra pada Selasa.

Dalam pada itu beliau berkata, kerajaan negeri Sabah dan Sarawak boleh mengisyitiharkan hari kelepasan am mengikut tarikh berkenaan mengikut Ordinan Hari Kelepasan Am masing-masing.

Sementara itu Anwar turut mengumumkan, Jabatan Penjara Malaysia akan melaksanakan pelepasan Orang Bebas Berlesen (OBB) di bawah Program Pelepasan Banduan Secara Lesen (PBSL) Ihsan Madani (Kepulangan Yang Dinanti).

Ikhtiar ini jelasnya, memberi peluang kepada penghuni penjara beragama Islam untuk merayakan Aidilfitri bersama keluarga.

“Pelepasan OBB ini dilaksanakan di seluruh institusi Penjara Malaysia melibatkan pelepasan lebih 1,000 OBB sepanjang bulan Ramadan dan Syawal,” katanya.

PALING POPULAR

To Top