Umum

Kerajaan Kelantan harap baki wang ihsan dibayar sebelum akhir Disember

Gambar Mohd Nassuruddin

Kerajaan Kelantan berharap kerajaan Persekutuan dapat membayar sepenuhnya baki wang ihsan sebelum akhir Disember ini.

Menurut Menteri Besar, Datuk Nassuruddin Daud, tahun ini sebanyak RM40 juta diperuntukkan kepada kerajaan negeri.

“Memang dasarnya kita tuntut royalti. Tetapi sementara kita dapat royalti harap kerajaan Persekutuan salurlah wang ihsan terlebih dahulu,” katanya semasa menjawab soalan daripada Rozi Muhamad (Pas-Tendong) pada Persidangan Kali Kedua (Belanjawan) Bagi Tempoh Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan ke-15 di Kompleks Kota Darulnaim, di sini pada Ahad.

Mengulas lanjut, beliai berkata jumlah RM40 juta itu dilihat agak ketara jika dibandingkan pada tahun sebelumnya iaitu RM331.38 juta.

Kelantan telah menerima wang ihsan sebanyak RM201.04 juta pada 2021 dan sebanyak RM190.85 juta pada 2020.

Mohd Nassuruddin menyatakan masih meletakkan harapan yang tinggi kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membayar keseluruhan wang ihsan pada penghujung tahun ini.

“Sama-samalah kita berdoa,” katanya.

Menjawab soalan tambahan Rozi berkait dengan perbezaan ketara jumlah itu, ADUN Meranti itu memberitahu, kerajaan negeri sudah mengadakan perundingan dengan kerajaan Persekutuan berkait dengan perkara tersebut.

 

PALING POPULAR

To Top