Umum

Kerajaan Negeri Sembilan bercadang untuk semak kadar tarif air

Gambar FB Aminuddin Harun

Kerajaan Negeri Sembilan bercadang untuk semak kadar tarif air berikutan situasi sukar yang dihadapi oleh industri bekalan air bukan saja di Negeri Sembilan tetapi di seluruh negara.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun, berkata kos daripada industri yang menyokong sistem bekalan air di negeri ini sudah naik beberapa kali tetapi tarif air tetap sama sejak lebih 20 tahun lalu.

Kos seperti bekalan elektrik, bahan digunakan untuk merawat air, aktiviti penyelenggaraan dan pembaikkan sistem agihan air telah mengalami peningkatan yang ketara.

“Kerajaan negeri memohon pengguna memahami situasi sukar yang sedang dihadapi oleh industri bekalan air bukan saja di negeri ini tetapi di seluruh negara,” katanya selepas merasmikan Hari Alam Sekitar Negara 2023 Peringkat Negeri Sembilan, di Kompleks Belia dan Sukan, Paroi, di sini, hari ini.

Menteri Besar itu menerangkan kali terakhir tarif air domestik dinaikkan di Negeri Sembilan adalah pada tahun 2002 selain kos bagi merawat dan membekalkan air bersih kepada pengguna ketika ini adalah sebanyak RM1.05 sen untuk setiap liter padu.

Menurut beliau, Tarif air di Negeri Sembilan adalah antara yang terendah di negara ini dan operator air masih mempunyai hutang dengan Kerajaan Persekutuan, sebelum menyatakan pengguna domestik hanya dikenakan caj 55 sen bagi setiap 20 liter padu.

“Memang masyarakat mempunyai jangkaan yang tinggi terhadap bekalan air kerana mereka mahu ada air bila buka paip, air itu pula mesti bersih. Tetapi industri bekalan air tidak mampu memenuhi jangkaan ini jika ia terus terbeban dengan kekangan kewangan,” katanya,

Bagaimanapun, Aminuddin menegaskan kenaikan tarif air itu akan diputuskan oleh Kabinet berdasarkan kajian dibuat oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).

Dalam pada itu, beliau turut berkata, pihak yang mencemar alam sekitar akan dikenakan tindakan tegas oleh pihak berkuasa mengikut Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

Kerajaan negeri melalui Jabatan Alam Sekitar (JAS) tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang mencemarkan alam sekitar.

“Sebagai contoh, bagi tempoh 10 bulan tahun ini sebanyak 112 Notis Arahan, 85 kompaun dan 23 kertas siasatan telah keluarkan oleh JAS negeri di atas pelbagai kesalahan di bawah perundangan alam sekitar,” katanya.

PALING POPULAR

To Top