Kementerian Pengangkutan sedang memuktamadkan pindaan terhadap Akta Pengangkutan Jalan 1987 bagi menangani kumpulan mat rempit yang sering melakukan aksi berbahaya di lebuh raya.
Timbalan Menterinya Hasbi Habibollah berkata pindaan itu akan mewujudkan tafsiran lebih jelas berhubung aksi berbahaya mat rempit seperti menunggang motosikal secara melulu atau terlibat dengan perlumbaan haram di atas jalan raya.
“Pindaan ini bertujuan menjadi suatu bentuk pencegahan kepada mereka yang terbabit dalam aktiviti tersebut,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat.
Beliau menjawab soalan Pang Hok Liong (PH-Labis) mengenai tindakan paling berkesan boleh diambil terhadap kumpulan mat rempit yang sering melakukan aksi berani di lebuh raya dan mengancam keselamatan pengguna jalan raya lain.
Hasbi berkata pindaan terhadap akta itu turut memperkenalkan hukuman lebih berat bagi kesalahan berkaitan aksi bahaya serta lumba haram di jalan raya, dan ia dibawa ke peringkat Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk pertimbangan.
“Langkah ini diambil bagi memastikan hukuman dikenakan dapat menjadi bentuk pencegahan kepada pelaku,” katanya.
Mengenai usaha penguat kuasa mengatasi aktiviti bahaya kumpulan mat rempit, beliau berkata Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan polis sentiasa bekerjasama melaksanakan aktiviti penguatkuasaan dengan melibatkan pelbagai agensi dan pihak berkuasa tempatan seperti Ops Samseng Jalanan.
Selain itu, beliau berkata kementerian melalui JPJ turut melaksanakan kerjasama secara berterusan antaranya dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup untuk mengekang aktiviti penjualan dan pengubahsuaian motosikal tidak mengikut spesifikasi.
“Kerajaan akan melaksanakan tindakan penguatkuasaan secara berterusan dan efektif bagi membendung kesalahan di jalan raya khususnya aktiviti perlumbaan haram melalui golongan remaja atau gejala mat rempit,” katanya.
Sumber FMT