Datuk Wan Saiful Wan Jan mempersoalkan mengapa sehingga hari ini tidak mahu mendedahkan syarikat mana yang diberikan permit import (AP) telur ayam dari India oleh kerajaan.
Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu bertanya berhubung isu import telur ayam di Dewan Rakyat sebelum ini dan mahu nama syarikat itu didedahkan, bagaimanapun dalam jawapan bertulis oleh Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu tidak menjawab persoalan tersebut.
“Dalam sidang Dewan Rakyat hari ini saya menerima jawapan bertulis untuk soalan saya berkaitan bekalan telur dalam negara.
“Saya juga tanya mengenai telur import dari India.
Tapi nampaknya jawapan Menteri tidak menjawab sepenuhnya soalan saya,” katanya dalam hantaran Facebook hari ini.
Dalam soalan di Parlimen, Wan Saiful bertanya mengapa Kerajaan Pakatan Harapan (PH)-Barisan Nasional (BN) mengimport telur dari India yang harganya lebih mahal dan saiz telur lebih kecil serta syarikat manakah yang mendapat AP import telur, bagaimana mereka dipilih dan berapa lama AP ini berkuat kuasa.
Bagaimanapun, jawapan bertulis oleh Mohamad atau Mat Sabu hanya menjelaskan syarikat tersebut diberikan AP kerana mempunyai pengalaman sebelum ini tetapi tidak mendedahkan nama syarikat tersebut.
“Syarikat tersebut diberikan kebenaran bagi mengimport telur dari negara India berdasarkan pengalaman mereka dalam membawa masuk telur dari India ke Qatar bagi memenuhi keperluan ketika penganjuran Piala Dunia FIFA 2022 di Qatar.
“Dengan keupayaan pihak syarikat yang mampu menghantar bekalan telur dalam masa yang singkat, Kementerian telah bersetuju untuk member kelulusan import khas selama tempoh 6 bulan bermula Disember 2022,” menurut jawapan bertulis itu.
Untuk rekod, isu kekurangan bekalan telur di pasaran tempatan berlaku apabila terdapat penyusutan pengeluaran yang dikesan mulai Oktober sehingga Disember 2022, di mana pengeluarannya tidak dapat menampung keperluan di dalam negara.
Sebagai langkah intervensi jangka masa pendek bagi memastikan kecukupan bekalan telur di dalam negara, Kementerian ini telah membenarkan pengimportan telur dari India dari jenis Fresh White Shell Egg, dengan berat diantara 50-55 gram yang boleh digredkan sebagai gred D di Malaysia tau medium di India.
Setakat ini, hanya satu syarikat yang diberi kebenaran berdasarkan permohonan dan cadangan yang diterima daripada pihak syarikat.
Sumber: Agenda Daily