Umum

Wan Saiful dibenar dapatkan semula pasport

Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu, membenarkan permohonan bekas Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan untuk mendapatkan semula pasportnya bagi membolehkannya mengikuti lawatan urusan rasmi di Jepun, hujung bulan ini.

Hakim, Rozina Ayob memutuskan demikian, selepas pasukan pembelaan bagi Ahli Parlimen Tasek Gelugor memohon agar dokumen perjalanan tersebut diserahkan bermula 23 September hingga 2 Oktober depan.

“Mahkamah membenarkan permohonan itu dengan tertuduh membuat aku janji untuk menyerahkan salinan tiket pergi balik dan surat tambahan daripada Pejabat Setiausaha Dewan Rakyat sebelum berangkat ke sana,” kata hakim itu.

Semasa prosiding, peguam, Amer Hamzah Arshad yang mewakili Wan Saiful berkata, permohonan itu dibuat kerana Wan Saiful perlu mengikuti lawatan kerja dalam Ahli Jawatankuasa Pilihan Khas Infrastruktur Pengangkutan dan Komunikasi bersama beberapa ahli parlimen lain ke negara terbabit.

Menurutnya, mereka menerima surat daripada Pejabat Setiausaha Dewan Rakyat dan perbincangan mengenai itinerari lawatan kerja itu akan diadakan pada Khamis minggu depan.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Maziah Mohaide berkata, pihak pendakwaan tidak membantah permohonan berkenaan.

Menurutnya, mereka menerima surat daripada Pejabat Setiausaha Dewan Rakyat dan perbincangan mengenai itinerari lawatan kerja itu akan diadakan pada Khamis minggu depan.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Maziah Mohaide berkata, pihak pendakwaan tidak membantah permohonan berkenaan.

Pada 21 Februari lalu, Wan Saiful mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan meminta dan menerima rasuah berjumlah RM6.9 juta membabitkan projek Jana Wibawa bernilai RM232 juta, pada tahun lalu.

Wan Saiful didakwa meminta wang daripada Lian Tan Chuan, sebagai dorongan membantu syarikat Nepturis Sdn Bhd mendapatkan projek Central Spine Road: Sertik Ke Persimpangan Lebuhraya Pantai Timur daripada Kerajaan Malaysia, secara pra kelayakan bernilai RM232 juta di Royal Lake Club, Taman Tasik Perdana, April tahun lalu.

Dia juga juga didakwa menerima suapan RM6.9 juta menerusi akaun CIMB Bank Berhad milik syarikatnya iaitu WSA Advisory Group Sdn Bhd daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik syarikat Nepturis Sdn Bhd.

Ia sebagai upah membantu syarikat terbabit mendapatkan surat setuju terima projek sama di CIMB Bank Berhad cawangan Bukit Tunku, di sini, antara 8 Julai hingga 30 September 2022.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 16(a) (A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta.

Jika sabit kesalahan, Wan Saiful boleh dipenjarakan sehingga maksimum 20 tahun, denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi.

Sumber: Sinar Harian

PALING POPULAR

To Top