Umum

Kerajaan tiada hala tuju ekonomi, PM ‘sibuk dengan rakan kongsi baru’, kata Azmin

Kepimpinan Putrajaya dilihat masih tidak mempunyai hala tuju yang jelas dalam mengemudi ekonomi negara ketika situasi ekonomi tempatan semakin mencabar, kata bekas menteri perdagangan antarabangsa dan industri, Mohamed Azmin Ali.

Katanya, keadaan itu mengakibatkan kemarahan dan kebangkitan rakyat yang semakin memuncak terhadap kerajaan, membabitkan golongan kelas berpendapatan rendah (B40) dan sederhana (M40). 

“Apabila kadar polisi semalaman (OPR) dinaikkan pada 3 Mei lalu, kos pinjaman di bank-bank akan menjadi lebih mahal daripada sebelum ini. 

“Kita juga melihat pelabur asing tidak yakin dengan kepimpinan Putrajaya kerana mereka melihat tiada kebijakan ekonomi komprehensif,” katanya dalam satu wawancara bersama MalaysiaNow. 

Media melaporkan pelabur asing menjual RM4.19 bilion saham di Bursa Malaysia dalam masa enam bulan pertama tahun ini. 

Rabu lalu Bursa Malaysia ditutup pada 1,389.90 mata, susut dua 2.59 mata.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang juga menggalas tugas sebagai menteri kewangan sebelum ini mengakui sanggup untuk mengambil tindakan “flip-flop” demi rakyat, apabila mengumumkan tidak akan menarik semula subsidi ayam dan telur, meskipun diumumkan oleh Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Mohamad Sabu penarikan di Dewan Rakyat.

Azmin, yang merupakan timbalan presiden PKR sebelum dipecat berkata, pengakuan itu adalah perkara serius yang memberi kesan aspek kepastian dalam satu-satu dasar. 

“Apabila kerajaan mengakui ini adalah kerajaan ‘flip-flop’, pelabur-pelabur asing bimbang pelaburan mereka dalam jumlah yang besar akan terkesan.

“Jika pelabur-pelabur asing tinggalkan (negara), peluang pekerjaan dalam kalangan anak muda akan terkesan,” katanya.

Kritikan turut dilempar pengkritik kepada menteri ekonomi, Rafizi Ramli berhubung kejatuhan bursa saham dan nilai ringgit. 

Rafizi berkata nilai ringgit yang merudum membawa kebaikan kepada negara. 

Selain itu, beliau juga berkata Bursa kurang berkilau, ketika mengulas mengenai pasaran saham tempatan.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Selangor itu berkata, penurunan nilai ringgit menyebabkan negara menjadi semakin tidak  kompetitif. 

“Antara komponen besar import negara adalah ‘intermediate goods’. Sebahagiannya bahan-bahan mentah berkualiti yang tiada dalam negara. Kita akan pasang dan beri nilai tambah sebelum mengeksport semula.

“Jadi apabila barangan-barangan ini menjadi semakin mahal, kita tidak akan mampu mengimport,” katanya.

Baru-baru ini, Anwar mendedahkan “geng kaya” yang ingin berkomplot menjatuhkan pentadbiran beliau. 

Anwar yang juga ahli Parlimen Tambun tidak mendedahkan siapa yang dimaksudkan dengan golongan kaya. 

Namun bagi Azmin, kenyataan seperti itu tidak wajar diucap oleh seorang perdana menteri. 

Ini kerana Anwar sebagai perdana menteri harus bertanggungawab menjaga pelabur-pelabur asing dan tempatan.

“Mereka tidak harus diberikan tanggapan negatif seperti ini. 

“Sekiranya benar beliau diugut oleh golongan kaya, bukti harus dikemukakan kepada pihak berkuasa. 

“Tidak boleh sewenang-wenangnya beliau wujudkan satu persepsi negatif,” katanya.

Azmin yang juga bekas menteri besar Selangor itu juga berkata, Anwar harus meletak jawatan jika ditolak oleh golongan kaya dan miskin. 

Beliau merujuk kepada dakwaan Anwar sebelum ini mengenai orang miskin yang diupah untuk membuat kekacauan. 

“Kalau orang miskin tolak beliau, orang kaya tolak beliau, eloklah letak jawatan. 

“Beliau hari ini terlalu sibuk untuk menjaga rakan-rakan kongsi baru dalam kerajaan campuran.”

Azmin berkata Anwar kini tersepit antara rakan-rakan gabungan dalam kerajaan campuran.

“Beliau kena jaga hati Ahmad Zahid Hamidi dan tuntutan daripada DAP. 

“Maka beliau hilang fokus dan pertimbangan untuk memberi tumpuan kepada persoalan ekonomi, hubungan antarabangsa dan keperluan rakyat hari ini.”

Sumber: Malaysianow

PALING POPULAR

Copyright © 2021

To Top