Umum

PN cadangkan MCA, MIC tinggalkan BN tanda protes pada Zahid

MCA dan MIC disaran meninggalkan BN selepas kedua-dua parti itu memutuskan untuk tidak menyertai pilihan raya di enam negeri yang dijadual berlangsung Ogos depan.

Pengarah Pilihan Raya PN, Muhammad Sanusi Md Nor, berkata tindakan tersebut wajar dibuat MCA dan MIC selepas mendakwa mereka tidak mendapat layan yang adil dalam parti gabungan terbabit.

Hal itu lebih ketara, menurut Sanusi, apabila dilihat dalam isu pembahagian kerusi di kawasan campuran yang dikuasai PH.

“Pada pandangan saya apabila BN berada bersama dengan parti-parti bukan Melayu dalam PH khususnya DAP (dan) PKR yang jadi parti berbilang kaum, kerusi-kerusi yang (pengundi) campuran ini terpaksa diberi kepada PH.

“Maka, kerusi untuk MIC dan MCA tak ada lagi dan oleh kerana tidak diberi kerusi yang boleh menang tetapi (diberi kerusi) bertanding dan kalah, lebih baik MIC dan MCA tidak bertanding.

“Saya rasa hal ini perlu dilanjutkan lagi dengan MIC dan MCA keluar dari BN. Ini lebih munasabah,” katanya menerusi wawancara khas yang disiarkan secara langsung di Facebook malam tadi.

Mengulas lanjut, Sanusi yang juga menteri besar sementara Kedah berkata nasib MCA dan MIC pasti akan berbeza jika kedua-dua mereka bersama dengan PN.

Katanya pada pandangan PN kerusi pengundi campuran di negara ini boleh diwakili oleh MIC dan MCA jika mereka bersama-sama dalam gabungan berkenaan.

Selain itu, Sanusi juga menganggap tindakan MCA dan MIC berkenaan dibuat sebagai isyarat bantahan kepada Ahmad Zahid Hamidi sebagai pengerusi BN.

“Itu satu bantahan kepada (Ahmad) Zahid Hamidi sebagai pengerusi BN,” katanya.

Kelmarin, kedua-dua parti komponen BN itu membuat keputusan untuk tidak menyertai pilihan raya negeri yang bakal berlangsung pada 12 Ogos ini namun memberi komitmen untuk membantu calon daripada gabungan berkenaan.

MCA dalam kenyataan berkata parti itu akan memberi lebih penekanan kepada persiapannya menghadapi PRU ke-16, manakala MIC menyentuh mengenai isu pembahagian kerusi dalam BN.

Ahmad Zahid bagaimanapun menafikan langkah kedua-dua parti itu dibuat sebagai protes dan menegaskan BN menghormati serta yakin mereka mempunyai alasan sendiri.

Enam negeri mengadakan PRN pada 12 Ogos ialah Kedah, Terenggann, Kelantan, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan.

Sumber: MalaysiaKini

PALING POPULAR

To Top