Umum

Kerana PKP lah Anwar, keluarga selamat tapi tak berterima kasih

Pakatan Harapan, terutama pemimpin tertinggi mereka Datuk Seri Anwar Ibrahim, sepatutnya menghargai apa yang Kerajaan Perikatan Nasional lakukan ketika menangani pandemik Covid-19 sehingga keluarganya juga terselamat daripada dijangkiti virus penyakit itu.

Bekas Perdana Menteri Kerajaan Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata beliau sesungguhnya juga tidak suka untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), tetapi demi menyelamatkan nyawa dan kesihatan rakyat, langkah itu terpaksa diambil.

“Kita (Kerajaan Perikatan Nasional) mengenakan sekatan pergerakan ataupun PKP… memang saya tak suka. Saudara pun juga tidak suka. Tetapi apa nak dibuat kerana situasi agak begitu mendesak. Kalau tak ada PKP saudara semua masih pergi ke sana ke sini.

“Kalau itu berlaku bermakna (Covid-19) tak akan terkawal. Walau dalam keadaan tak terkawal pun dengan PKP hampir empat juta nyawa telah dijangkiti Covid-19. Itu yang sudah pun berlaku.

“Sebab itu Anwar mengata saya bapa PKP. Dia kata kita bapa PKP… tetapi pemimpin hadapan inilah yang bertanggungjawab menyelamatkan rakyat dan negara ketika itu,” katanya berucap pada Jelajah Perikatan Nasional PN BEST di Parlimen Gombak, malam tadi (14 November 2022).

Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional menempelak Anwar kerana tidak bersyukur dan berterima kasih kepada beliaudan Kerajaan Perikatan Nasional, atas apa yang dilakukan ketika pandemik itu.

“Kehidupan dia (Anwar) baik, isteri, anak, cucu dia semua sihat, Sewajarnya dia kata dengan saya Muhyiddin, thank you for what we have done for my family and the nation.

“Tapi tak apalah dalam dunia ini ada orang seperti itu. Allah Subhanahuwataala menyebut kalau kamu bersyukur atas nikmatNya, maka Allah akan tambah lagi tetapi kalau kamu kufur akan apa pemberianKu.. satu azab yang paling pedih.

“Tapi itu yang telah pun berlaku dan telah berlalu. Nasib baiklah negara kita sudah kembali selamat. Datuk Azmin Ali, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dan Jemaah Menteri yang terdiri daripada Perikatan Nasional berkorban, masa, tenaga, siang dan malam untuk menguruskan masalah negara waktu zaman susah,” katanya.

Muhyiddin bersyukur kerana segala usaha yang dilakukan pada peringkat awal menangani Covid-19, termasuk menguruskan wang rakyat berjumlah berbilion ringgit untuk membeli vaksin, akhirnya negara kini sudah berada dalam fasa endemik.

Namun, katanya usaha itu belum berakhir kerana Perikatan Nasional mahu menjadi sebuah kerajaan yang Prihatin, Bersih dan Stabil supaya dapat melaksanakan amanah memberikan kehidupan yang lebih baik kepada rakyat berbilang kaum.

“Anwar tak ada pengalaman. Begitu juga dengan (Datuk Seri Ahmad) Zahid Hamidi (Presiden UMNO) juga tidak ada pengalaman sebagai Perdana Menteri,” katanya.

Sehubungan itu, Muhyiddin meminta pengundi, khususnya anak muda, keluar beramai-ramai mengundi Perikatan Nasional bagi menubuhkan sebuah Kerajaan Persekutuan yang Prihatin, Bersih dan Stabil, pada 19 November ini.

Sumber: Agenda Daily

PALING POPULAR

Copyright © 2021

To Top