Umum

Kereta terbakar di jalan, seorang warga emas maut

Gambar JBPM

Seorang wanita warga emas maut, manakala 3 lagi mangsa termasuk 2 kanak-kanak melecur selepas kereta yang dinaiki mereka terbakar dalam kejadian di Jalan Bidor Lama, Tapah, pagi tadi.

Menurut Penolong Pengarah (Bahagian Operasi) Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak, Sabarodzi Nor Ahmad, kebakaran itu membabitkan sebuah Proton Saga yang musnah kira-kira 98% dan mangsa yang maut adalah penumpang tempat duduk belakang.

“Sebaik tiba kita dapati wanita warga emas disahkan meninggal dunia manakala tiga lagi iaitu wanita dewasa dan dua kanak-kanak berusia sekitar lima dan lapan tahun melecur,” katanya menurut Berita Harian.

Menurut laporan, pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada 4.49 pagi sebelum sepasukan anggota dikejarkan ke lokasi.

Mayat mangsa sudah diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut manakala mangsa lain dihantar hospital untuk rawatan susulan.

“Identiti semua mangsa belum dapat dipastikan kerana semua barangan peribadi termasuk kad pengenalan hangus ketika kejadian,” katanya.

PALING POPULAR

To Top