Umum

Kes tukar agama: Bapa 3 anak didenda hina mahkamah

Seorang bapa yang didakwa melarikan tiga anaknya dan mendaftarkan mereka sebagai mualaf tanpa kebenaran bekas isterinya, didenda RM20,000 oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini kerana menghina mahkamah.

Hakim Evrol Mariette Peters menjatuhkan hukuman itu terhadap Muhammad Nagahswaran Muniandy, bekas suami Loh Siew Hong, dan memerintahkannya membayar denda dalam tempoh 14 hari, jika tidak dia akan dipenjarakan selama 14 hari mulai hari ini.

Hakim berkata Muhammad Nagahswaran telah campur tangan dalam pentadbiran keadilan.

Hakim itu membuat keputusan tersebut selepas membenarkan permohonan Loh untuk memulakan prosiding komital terhadap Muhammad Nagahswaran.

Dalam permohonannya, Loh mendakwa terdapat perintah mahkamah yang memberikannya hak penjagaan tunggal ke atas tiga anaknya iaitu kembar perempuan berusia 15 tahun dan anak lelaki berusia 11 tahun pada 31 Mac 2021, bagaimanapun bekas suaminya telah melanggar perintah itu.

Dalam penghakimannya, hakim itu berkata responden (Muhammad Nagahswaran) mengetahui apa yang telah dilakukannya dan gagal mematuhi perintah mahkamah itu yang memberikan hak penjagaan tunggal kepada Loh.

“Dan daripada afidavit itu, responden telah melibatkan ahli keluarga dalam menghalang kanak-kanak itu dikembalikan kepada pempetisyen,” katanya.

Hakim berkata dalam kes ini, kelakuan responden yang tidak mematuhi perintah mahkamah telah mencetuskan rantaian peristiwa, yang bukan sahaja menyebabkan pempetisyen menggunakan pelbagai kaedah, melalui mahkamah, memfailkan banyak permohonan, semata-mata untuk bersatu semula dengan anaknya.

“Ia juga telah menghalang kanak-kanak daripada bersama ibu mereka selepas dipindahkan dari seorang kepada yang lain. Pempetisyen dibiarkan dalam keadaan tidak menentu,” kata Peters.

Hakim juga menegaskan bahawa mahkamah perlu menunaikan tanggungjawabnya dengan menjatuhkan hukuman yang setimpal bagi menggambarkan keseriusan kes, khususnya campur tangan responden terhadap pentadbiran keadilan.

Mahkamah memerintahkan responden membayar kos RM6,000.

Loh dan bekas suaminya, masing-masing berumur 36 tahun, duduk berjauhan antara satu sama lain di galeri awam semasa prosiding mahkamah berlangsung.

Ibu tunggal itu diwakili peguam J. Gunamalar manakala M. Vhimall mewakili Muhammad Nagahswaran.

Sementara itu, peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla, yang mewakili Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) memberitahu mahkamah bahawa pihaknya telah memohon supaya hakim itu menarik diri daripada mendengar permohonan MAIPS bagi meminda perintah hak penjagaan tiga anak yang diperoleh Loh.

Permohonan itu difailkan berikutan Mahkamah Rayuan pada 7 Feb lepas telah membenarkan rayuan MAIPs untuk mencelah sekali gus membenarkan permohonan MAIPs untuk dijadikan sebagai respoden kedua.

Pada 15 Jun 2022, Peters menolak permohonan MAIPs untuk menjadi pencelah dalam prosiding perceraian pasangan itu bagi mengubah perintah penjagaan anak pasangan itu yang diberikan kepada Loh untuk membolehkannya menyediakan pendidikan dan latihan yang Islamik, serta zakat kepada ketiga-tiga kanak-kanak yang turut memeluk agama Islam bersama bapa mereka.

Pada 21 Feb 2022, tiga beradik itu yang berada di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat diserahkan kepada Loh selepas Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan habeas corpusnya.

Loh juga memfailkan permohonan semakan kehakiman untuk mencabar penukaran agama anaknya kepada agama Islam yang didakwa dilakukan oleh bekas suaminya tanpa persetujuan beliau. Mahkamah Tinggi menetapkan 11 Mei untuk keputusan.

— BERNAMA

PALING POPULAR

Copyright © 2021

To Top