Umum

Caj parkir naik menjelang perayaan

DI sebalik keterujaan menyambut ketibaan Aidilfitri tidak lama lagi, orang ramai mengakui terpaksa mengeluarkan kos agak tinggi hanya untuk membayar caj tempat meletak kenderaan di ibu negara.

Kegembiraan untuk membeli-belah kelengkapan raya tidak seindah disangka kerana caj parkir kereta persendirian yang naik mendadak.

Apa Khabar Rakyat kali ini melaporkan berkenaan caj tempat meletak kenderaan di sekitar Lembah Klang khususnya di ibu negara yang disifatkan sebagai ‘mencekik darah’.

Malah keadaan di tempat meletak kenderaan seperti rupa tidak seindah khabar apabila jalannya berlubang teruk, air bertakung dan kurang selamat tidak setanding dengan caj dikenakan.

Wartawan Sinar Harian Selangor dan Kuala Lumpur, Mohd Azlim Zainury cuba menyelami masalah tersebut melalui tinjauan di pusat tempat meletak kereta utama di sekitar ibu negara.

Ketika hampir tibanya musim perayaan, orang ramai akan berpusu-pusu untuk keluar bagi membeli kelengkapan sewajarnya di pusat beli-belah atau di bazar Aidilfitri yang dibuka di ibu negara.

Mereka kebiasaannya akan membawa kenderaan sendiri bagi memudahkan untuk membawa pulang barangan yang dibeli untuk sambutan perayaan nanti.

Namun apa yang menjadi kegusaran kepada orang ramai ketika ini ialah caj tempat letak kenderaan milik persendirian di ibu negara yang meningkat secara mendadak berbanding hari biasa.

Lebih menyedihkan kadar dikenakan ini berubah ketika musim perayaan dan bukan hanya menjelang sambutan Aidilfitri tetapi juga perayaan besar lain seolah-olah menjadi satu kebiasaan.

Kadar caj seminggu lalu hanya sekitar RM8 hingga RM10 untuk sekali masuk namun naik mendadak sehingga RM15 ke RM20 ketika ini.

Namun disebabkan ruang tempat meletakkan kenderaan di ibu negara adalah amat terhad, pengguna terpaksa akur dengan kenaikan caj dikenakan pemilik premis berkenaan.

Pekerja swasta, Hamidi Husin, 51, berkata, kadar harga caj tempat meletakkan kenderaan antara RM15 hingga RM20 adalah terlalu tinggi untuk tempoh yang singkat.

“Memang wajar pihak berkuasa tempatan (PBT) memainkan peranan dan campur tangan dalam penetapan kadar berpatutan kepada orang ramai khususnya ketika musim perayaan,” katanya yang menetap di Kampung Baru.

Seorang lagi pekerja swasta, Shazril Syamsul, 30, berkata, dengan kemudahan parkir tiada bumbung dan keadaan jalan yang tidak rata, kadar caj dikenakan boleh dianggap agak keterlaluan.

“Jadi bagi saya memang tidak wajar setiap kali ada perayaan kadar harga parkir meningkat dan turun semula pada hari biasa.

“Ini tidak sepatutnya berlaku dan sesuatu perlu dilakukan bagi mengelakkan perkara ini terus berleluasa,” jelasnya.

Bapa seorang anak itu menambah, PBT wajar menyelaraskan kadar parkir pada kadar sama di ibu negara yang tidak melebihi kadar tertentu sehingga membebankan orang ramai.

Sementara itu, Fadzilla Nor Abdul Halim, 40, berkata, pemilik kenderaan biasanya tidak mengambil masa lama untuk membeli-belah maka kadar caj patut dikenakan berdasarkan jam.

“Bukan lama sangat kalau sekali masuk caj RM10 mungkin wajar dan saya menyokong jika PBT memberi perhatian terhadap isu kenaikan kadar parkir ketika musim perayaan ini,” tegasnya.

Peguam: DBKL ada kuasa gubal undang-undang kecil

Sementara itu, seorang peguam, Khairul Naim Rafidi berkata, asasnya punca kuasa bagi kawasan parkir kereta persendirian di ibu kota adalah datang daripada Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171).

Beliau menjelaskan melalui Akta 171, pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mempunyai kuasa untuk membuat satu undang-undang kecil.

Menurutnya, bagi kawasan parkir persendirian, undang-undang kecil yang terpakai adalah Undang-Undang Kecil Pelesenan Tempat Letak Kereta Persendirian (Wilayah Persekutuan) 1982.

“Undang-undang ini menyebut bahawa mana-mana individu yang ingin mengendalikan kawasan parkir kereta persendirian hendaklah memiliki lesen yang sah. Kuasa untuk memberikan lesen tersebut adalah jatuh di bawah budi-bicara Datuk Bandar.

“Jika dirujuk kepada undang-undang kecil tersebut adalah jelas bahawa Datuk Bandar boleh bagi maksud pelarasan caj parkir kereta untuk sesuatu kawasan menentukan caj parkir kereta bagi kawasan persendirian tersebut,” ujar beliau.

Dalam maksud mudah, jelasnya, pemegang lesen kawasan parkir kereta persendirian mesti patuh dengan caj ditentukan oleh Datuk Bandar dan terdapat beberapa langkah boleh diambil kerajaan bagi menangani isu ini.

“Pertama sekali, Datuk Bandar boleh menggunakan kuasa budi bicaranya untuk menyelaraskan caj parkir kereta murah, munasabah dan berpatutan ketika musim perayaan.

“Saya fikir perkara ini boleh dilakukan bagi meringankan beban rakyat terutamanya ketika rakyat sedang sibuk dengan persiapan menjelang perayaan bakal tiba tidak lama lagi,” ujarnya.

Beliau yang juga merupakan Ketua Biro Undang-Undang Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor menambah, rakyat tidak seharusnya dibebankan dengan kos seperti ini.

“Kedua, pemantauan juga boleh dilakukan terhadap kawasan parkir persendirian yang ingin mengambil kesempatan dengan mengenakan caj yang berlebihan.

“Harus diingatkan bahawa pihak DBKL melalui Datuk Bandar mempunyai kuasa untuk membatalkan lesen parkir persendirian seandainya mereka tidak patuh kepada arahan yang telah ditetapkan,” dedahnya.

Selain itu, beliau berkata, antara langkah-langkah yang boleh dilaksanakan oleh pihak DBKL ialah mengadakan sesi perbincangan dengan semua pemegang lesen bagi menentukan caj yang berpatutan.

Sumber: Sinar Harian

PALING POPULAR

To Top