Umum

KKM batal notifikasi produk kosmetik “ZMY Magnetic Aura Cream” kerana mengandungi merkuri

Gambar KKM

Bahagian Regulatori Farmas Negara (NPRA) menggesa orang awam untuk mengelak daripada membeli dan menggunakan produk komestik “ZMY Magnetic Aura Night Cream” kerana dikesan mengandungi racun berjadual.

Kementerian Kesihatan (KKM) telah membatalkan notifikasi produk kosmetik “ZMY Magnetic Aura Night Cream” dan tidak lagi dibenarkan untuk dijual di Malaysia.

Dalam suatu kenyataan hari ini, Pengarah Bahagian Regulatori Farmasi Negara Kementerian Kesihatan (KKM) Rosilawati Ahmad berkata produk berkenaan dikesan mengandungi merkuri.

Beliau berkata merkuri dilarang dalam produk kosmetik kerana bahan itu boleh menyerap ke dalam badan sehingga menyebabkan kerosakan pada buah pinggang, sistem saraf serta mengganggu perkembangan otak kanak-kanak atau janin, selain menyebabkan ruam, iritasi dan perubahan pada kulit.

“Penjual dan pengedar produk kosmetik ini perlu menghentikan penjualan dan pengedaran produk kosmetik terbabit dengan serta-merta.

“Penjualan dan pengedaran produk itu melanggar Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984,” katanya.

Beliau berkata mana-mana individu yang melakukan kesalahan di bawah peraturan-peraturan itu boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama, dan denda RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan berikutnya.

Rosilawati berkata syarikat pula boleh dikenakan denda hingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda hingga RM100,000 bagi kesalahan berikutnya.

“Orang awam yang sedang menggunakan produk ini dinasihatkan untuk segera menghentikan penggunaannya dan mendapatkan nasihat daripada ahli profesional kesihatan jika mengalami sebarang ketidakselesaan atau kesan advers,” katanya.

PALING POPULAR

Copyright © 2021

To Top