Individu yang sihat dan berumur di antara 50 dan 59 tahun menjadi kumpulan terbaharu yang disyorkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) untuk menerima suntikan dos penggalak kedua.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, pengambilan dos berkenaan adalah pilihan kumpulan berkenaan sebagai usaha melindungi diri daripada sebarang risiko yang teruk.
“Saya juga pada hari ini ingin mengumumkan bagi pemberian dos penggalak kedua yang telah kita syorkan kepada individu berusia 60 tahun ke atas dan juga mereka yang berisiko tinggi iaitu 18 hingga 59 tahun.
“Hari ini saya ingin mengumumkan bahawa individu yang sihat berumur 50 hingga 59 tahun boleh diberikan vaksin dos kedua jika memilih berbuat demikian untuk perlindungan daripada risiko yang teruk,” katanya pada Sesi Pertanyaan Lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Sebelum itu, Datuk Rubiah Wang (GPS-Kota Samarahan) meminta Menteri Kesihatan menyatakan keadaan terkini ancaman varian baharu COVID-19 dan tindakan kementerian menghadapinya.
Sumber: Astro Awani