Penggunaan kod QR di kaunter pelepasan kedua-dua pintu sempadan Malaysia dan Singapura dapat menjimatkan lebih 50% waktu perjalanan.
Menurut Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof, buat masa ini purata masa menyeberang sempadan Malaysia dan Singapura antara 30 minit hingga sejam.
“Bagi mereka yang bekerja di Singapura, mereka terpaksa keluar seawal 4 pagi. Kalau dapat jimatkan masa, mereka boleh keluar 4.30 pagi, kalau 5 pagi lebih baik, mereka ada masa berkualiti, ada banyak masa berehat.
“Secara purata jimatkan 50% waktu perjalanan. Sekarang ini puratanya sejam, ada setengah jam bergantung kepada trafik,” katanya selepas merasmikan Persidangan Kebangsaan Pengurusan Air Larian Hujan.
Terdahulu, Fadillah mengumumkan penggunaan kod QR di kaunter pelepasan Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) Iskandar Puteri akan dilaksanakan mulai 1 Jun ini.
Bagaimanapun katanya, bagi tempoh percubaan selama 3 bulan, kaedah kod QR akan dibuka kepada pengguna bas di BSI dan penunggang motosikal laluan M-Bike di KSAB sama ada menggunakan aplikasi MySejahtera atau memuat turun aplikasi MyTrip dan MyDigital ID.
Beliau berkata, pengenalan kod QR itu bermakna rakyat tidak lagi perlu mengemukakan pasport untuk ke Singapura selain 3 sistem itu sedang melalui fasa pengujian bagi penumpang bas serta penunggang motosikal.
“Kod QR ini akan digunakan untuk rakyat Malaysia dahulu, terbukti baik baru buka untuk warganegara lain,” katanya.