Umum

Kompaun bernilai sekitar RM1.2 juta dikeluarkan sepanjang Ogos untuk kesalahan merokok

Gambar Hiasan

Kementerian Kesihatan (KKM) telah mengeluarkan sebanyak 4,884 kompaun bernilai RM1.203 juta sepanjang bulan lepas atas kesalahan merokok.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan berkata sebanyak 9,230 notis kesalahan juga telah dikeluarkan melibatkan 22,204 premis.

Beliau menyatakan demikian dalam kenyataan hari Jumaat mengenai Pencapaian Tindakan Penguatkuasaan dan Perundangan di bawah Undang-undang Kesihatan Awam bagi Ogos 2023.

Bagi tindakan penguatkuasaan Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit (APSPP) 1975 bagi tujuan pencegahan dan kawalan penyakit demam denggi pula, Ketua Pengarah Kesihatan berkata sebanyak 3,188 kompaun bernilai RM1.59 juta telah dikeluarkan dengan purata RM500 bagi setiap kompaun.

Sejumlah 536 kes telah didaftar untuk tindakan mahkamah dan dalam masa yang sama sebanyak 93 kes telah disabitkan kesalahan di mahkamah dengan jumlah denda RM353,280, katanya.

Beliau berkata,”tindakan penutupan sementara premis makanan yang dikuatkuasakan oleh KKM adalah sebagai suatu langkah menjamin kebersihan premis serta makanan yang dihidangkan.”

Dr Muhammad Radzi berkata sebanyak 7,030 premis makanan juga telah diperiksa dengan 222 premis atau 3.16 peratus premis diarah tutup di bawah Seksyen 11 Akta Makanan 1983.

 

PALING POPULAR

To Top