Umum

Kontraktor cedera akibat tanah runtuh patuh SOP – IWK

Pekerja kontraktor pembersihan pembetungan yang cedera selepas terperangkap dalam tanah runtuh ketika melakukan kerja pembaikan tangki septik di Sekolah Menengah (SM) Sains Kota Tinggi dekat sini petang semalam, didapati mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

Indah Water Konsortium (IWK) Sdn Bhd dalam kenyataan hari ini memaklumkan pekerja berkenaan telah mengikuti SOP dengan mengamalkan langkah kesihatan dan keselamatan yang ditetapkan.

“Syarikat itu memaklumkan pihaknya sentiasa memastikan SOP dalam kerja-kerja penyelenggaraan loji rawatan kumbahan sentiasa dipatuhi, selain menjadikan aspek keselamatan serta kesejahteraan pekerja sebagai keutamaan.

“Sehubungan itu, IWK berasa kesal dengan kejadian menimpa seorang pekerja kontraktor semalam yang terperangkap dalam runtuhan tanah yang berlaku secara tiba-tiba ketika dia sedang melakukan kerja-kerja penyelenggaraan rutin loji kumbahan di SM Sains Kota Tinggi,” menurut kenyataan itu.

Semalam, seorang lelaki dilaporkan cedera selepas terperangkap kira-kira empat jam dalam tanah runtuh ketika melakukan kerja-kerja pembaikan tangki septik di sebuah sekolah.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Supt Hussin Zamora dilapor berkata insiden berlaku apabila tanah di tepi tangki loji kumbahan itu runtuh atau jerlus sehingga mengakibatkan lelaki tempatan berusia 44 tahun itu tertimbus hingga ke paras pinggang, manakala tiga yang lain sempat menyelamatkan diri.

“Bagaimanapun, mangsa berjaya diselamatkan dan berada dalam keadaan stabil,” katanya.

— BERNAMA

PALING POPULAR

Copyright © 2021

To Top