Umum

Kota Anggerik, Batu Tiga antara 33 kerusi wajib menang untuk PN tawan Selangor

DEWAN Undangan Negeri (DUN) Kota Anggerik dan Batu Tiga merupakan kerusi wajib menang bagi Perikatan Nasional (PN) sekiranya berhasrat mahu menawan Selangor dalam Pilihan Raya Negeri (PRN).

Ketua Penerangan Bersatu Selangor, Mohd Hamidi Abu Bakar berkata, PN meletakkan sasaran memenangi 33 kerusi DUN daripada 56 yang dipertandingkan di Selangor terutamanya menguasai di kesemua DUN memiliki populasi pengundi majoriti Melayu.

Katanya, dua DUN yang terletak di dalam Parlimen Shah Alam itu memiliki populasi pengundi 75 peratus Melayu yang sememangnya menjadi sasaran PN untuk wajib menang.

“Kita mungkin sasar 33 kerusi yang mana majoritinya 50 peratus pengundi Melayu.

“Jadi betapa pentingnya dua DUN di Shah Alam ini iaitu DUN Kota Anggerik dan Batu Tiga sebab populasi penduduk, pengundi di Shah Alam ini adalah majoriti di kalangan orang Melayu, kita ada 75 peratus pengundi orang Melayu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas majlis berbuka puasa Bersatu Shah Alam, semalam.

Bagaimanapun, Mohd Hamidi yang juga Ketua Bahagian Bersatu Shah Alam berkata, PN Selangor tidak menidakkan kepentingan meraih pengundi kaum Cina dan India, cuma strategi gabungan itu adalah untuk menyapu bersih kesemua DUN yang memiliki majoriti pengundi Melayu di negeri itu.

“Bukan kita tidak memerlukan Cina dan India, tetapi kita perlu fokus kepada 33 kerusi ini dulu dan kemudian kita cuba cari lagi dua tiga kerusi yang majoritinya daripada pengundi Cina dan India,” katanya.

Ditanya mengenai perebutan antara PAS dan Bersatu untuk meletakkan calon masing-masing di DUN Batu Tiga, Mohd Hamidi berkata, perkara itu akan diselesaikan dengan baik kepimpinan PN tidak lama lagi.

“Di situ ada sedikit lah (isu), di situ ada sedikit pertembungan, bukan di peringkat Pusat, tetapi di peringkat negeri. Kita yakin perkara ini akan diselesaikan pucuk pimpinan tidak lama lagi,” katanya. – Malaysiapost

PALING POPULAR

To Top