Business

KPMG akan bayar RM333 juta kepada kerajaan selesai 1MDB

Kementerian Kewangan mengumumkan bahawa KPMG telah bersetuju dengan penyelesaian bernilai RM333 juta (AS$80 juta) bagi memenuhi semua tuntutan yang berkaitan dengan tanggungjawab fidusiari mereka dalam pengauditan akaun 1Malaysia Development Berhad (1MDB) untuk tempoh 2010 hingga 2012.

Penyelesaian dengan KPMG bernilai lebih daripada 800 kali ganda fi audit yang diperoleh KPMG merupakan salah satu penyelesaian berkaitan 1MDB yang terbesar oleh sebuah firma audit di Asia Tenggara.

Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, ini membuktikan tekad kerajaan Malaysia untuk meneruskan segala usaha pemulihan terhadap semua pihak yang terlibat dalam 1MDB dan entiti yang berkaitan dengannya.

“Kerajaan Malaysia akan memastikan tindakan sewajarnya diambil terhadap semua individu atau entiti yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam skim global 1MDB ini,” katanya.

Penyelesaian itu akan mengakhiri tuntutan sivil yang difailkan pada 6 Julai 2021 terhadap KPMG, mempercepatkan penyelesaian tersebut yang akan digunakan untuk memenuhi obligasi 1MDB tertunggak dan menjimatkan sumber awam daripada segi kewangan dan tempoh masa pengadilan.

Penyelesaian ini tidak akan memberi kesan atau menjejaskan tuntutan Malaysia terhadap individu seperti Jho Low dan pihak lain yang berkaitan dengannya dan individu masih diburu oleh pihak berkuasa berhubung dengan skandal kewangan 1MDB.

Kementerian Kewangan ingin mengucapkan terima kasih kepada Jabatan Peguam Negara, badan pengawal selia dan agensi penguat kuasa yang terlibat atas usaha mereka dalam mencapai penyelesaian tersebut. – Bernama

PALING POPULAR

Copyright © 2021

To Top