Umum

KWSP: ‘PM perlu lebih praktikal fahami penderitaan rakyat’

Persekutuan Hak Asasi Manusia Global (GHRF) kecewa dengan keputusan kerajaan tidak membenarkan sekali lagi terhadap pengeluaran wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Presidennya, S Shashi Kumar mendakwa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sepatutnya lebih bersikap praktikal selain memahami penderitaan rakyat.

“Perdana Menteri begitu bimbang bercakap tentang persaraan namun apa yang berlaku apabila rakyat berdepan tindakan undang-undang kerana tidak membayar pinjaman.

“Selain terpaksa membayar keseluruhan faedah persaraan untuk menyelesaikan tuntutan dengan faedah tambahan apabila mencapai umur 55 tahun?

“Kami faham pengeluaran KWSP adalah penyelesaian sementara tetapi buat masa ini, ia membolehkan seseorang itu merancang masa depan rakyat selain meringankan beban mereka sementara kerajaan mencari penyelesaian kekal untuk perkara tersebut,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Pada Jumaat, kerajaan bersetuju menambah caruman sebanyak RM500 ke dalam simpanan Akaun 1 KWSP bagi pencarum berusia 40 hingga 54 tahun yang memiliki baki simpanan kurang RM10,000 dalam akaun berkenaan melalui Belanjawan 2023.

Anwar berkata, inisiatif itu adalah sebahagian usaha kerajaan untuk membantu mereka membina semula simpanan persaraan yang berkurangan susulan pengeluaran ketika pandemik Covid-19.

Bagi tujuan itu juga, kerajaan memperuntukkan hampir RM1 bilion bagi meningkatkan simpanan persaraan hampir dua juta pencarum KWSP yang menghampiri usia persaraan.

Sementara itu, Shashi berkata, kos sara hidup terus meningkat malah rakyat menghadapi kesukaran untuk menguruskan perbelanjaan dan menyelesaikan hutang mereka pada masa yang sama.

“Ia tidak wajar atau tidak adil untuk Perdana Menteri menyatakan sekiranya pengeluaran KWSP dibenarkan maka caruman RM500 oleh kerajaan kepada pencarum yang mempunyai akaun di bawah RM10,000 adalah tidak mungkin.

“PM perlu lebih praktikal dalam memahami penderitaan, rayuan dan tangisan rakyat,” dakwanya lagi.

Sebelum ini media melaporkan GHRF bersama NGO Pertubuhan Gagasan Inovasi Rakyat Malaysia (PGIRM) dan Persatuan Pengguna Islam (PPIM), menyerahkan memorandum kepada Jabatan Perdana Menteri, menggesa kerajaan membenarkan satu lagi pusingan pengeluaran KWSP pada 17 Februari lepas.

Sumber: Sinar Harian

PALING POPULAR

To Top