Seorang penunggang motosikal berkuasa tinggi maut selepas terlibat kemalangan dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda Lebuh Raya Pantai Timur 1 (LPT1) arah timur berdekatan susur keluar Lanchang semalam.
Dalam kejadian di KM98.6 , mangsa lelaki berusia 34 tahun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di bahagian dada.
Tular di media sosial klip video yang memaparkan motosikal ditunggang mangsa terpelanting selepas terlanggar pacuan empat roda dan tercampak ke atas ruang muatan kenderaan itu. Mangsa pula kelihatan terbaring diatas jalan.
Menurut Ketua Polis Temerloh, Mazlan Hassan, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian kira-kira 4.45 petang.
Katanya, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku susulan tindakan seorang wanita yang memandu kenderaan utiliti sukan (SUV) berhenti di bahu jalan sebelum melintas ke kanan lebuh raya.
Menurutnya, disebabkan tindakan wanita itu, pemandu pacuan empat roda terpaksa menekan brek secara mengejut sebelum dilanggar motosikal mangsa yang tidak sempat mengelak.
“Mangsa yang menunggang motosikal jenis Suzuki GSX-R1000 dari arah belakang gagal mengelak lalu melanggar bahagian belakang kenderaan tersebut.
“Mangsa terjatuh di lorong laju, manakala motosikalnya tercampak ke bahagian belakang Mitsubishi Triton yang dirempuhnya,” katanya dilaporkan Sinar Harian.
Mazlan berkata, wanita berusia 35 tahun yang memandu SUV dan penumpangnya, lelaki warga China berusia 37 tahun ditahan untuk siasatan lanjut.
Katanya, ujian saringan air kencing ke atas pemandu dan penumpang SUV itu didapati negatif dadah.
“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 304A Kanun Keseksaan kerana kecuaian menyebabkan kematian.”