Umum

Lebih 19 juta populasi dewasa lengkap vaksinasi COVID-19

Seramai 19,156,694 individu atau 81.8 peratus daripada populasi dewasa di negara ini sudah melengkapkan suntikan vaksin COVID-19 setakat semalam.

Berdasarkan portal COVIDNOW hari ini, Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan, setakat semalam sebanyak 93.3 peratus atau 21,847,551 populasi dewasa sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Selain itu, seramai 23,703 individu atau 0.8 peratus daripada populasi remaja lengkap menerima dua dos suntikan vaksin COVID-19.

Bagi kedua-dua populasi, sebanyak 326,612 dos suntikan vaksin turut diberikan semalam, membabitkan 132,562 dos pertama dan 194,050 dos lengkap, menjadikan jumlah kumulatif pemberian dos vaksin menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) adalah sebanyak 41,573,883 dos.

PICK dilancarkan pada 24 Februari lalu bagi memberikan vaksinasi untuk membendung pandemik COVID-19 di seluruh negara.

Sementara itu, sebanyak 116 kes kematian akibat COVID-19 dilaporkan setakat jam 11.59 malam 23 September, menjadikan jumlah keseluruhan kes kematian di negara ini kini 24,681 kes.

Bagaimanapun, daripada 116 kematian baharu itu, 92 kes adalah kematian sebenar yang dilaporkan berlaku semalam, manakala selebihnya adalah pelaporan kes kematian tertunggak.

Sebanyak 29 daripada kematian baharu itu dilaporkan berlaku di luar hospital (BID). – BERNAMA

PALING POPULAR

To Top