Umum

Lebih ramai Ketua Bahagian dalam mesyuarat dipanggil Zahid sokong PM: Sumber

Satu mesyuarat tergempar melibatkan Ketua-Ketua Bahagian UMNO diadakan bermula pagi ini di ibu pejabat parti, Menara Dato’ Onn bagi membincangkan berhubung masa depan dan hala tuju parti itu.

Hampir 140 Ketua Bahagian menghadiri mesyuarat bermula sekitar jam 11 pagi tadi, bagaimanapun majoriti yang hadir dalam mesyuarat tersebut difahamkan menyokong Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob walaupun mereka dipanggil atas jemputan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

“Datuk Seri Presiden dan Timbalan Presiden UMNO meminta agar Ketua-ketua UMNO Bahagian hadir ke satu pertemuan khas berhubung satu perkara yang sangat penting demi masa depan parti yang mesti disegerakan,” menurut mesej tersebut yang tular itu.

Pemimpin utama UMNO dilihat hadir pada mesyuarat pagi tersebut, bagaimanapun Zahid difahamkan terpaksa kembali ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi menghadiri perbicaraan kesnya.

Menurut sumber, difahamkan mesyuarat menumpukan kepada kes mahkamah yang sedang dihadapi oleh bekas Presidennya, Datuk Seri Najib Razak yang sedang berdepan perbicaraan akhir kes penyelewengan SRC International Sdn Bhd.

Selain itu, turut dibangkitkan berhubung tarikh pilihan raya umum ke-15 (PRU-15) yang perlu disegerakan dengan secepat mungkin.

Namun, seorang Ketua Bahagian memberitahu majoriti yang hadir mesyuarat dilihat cenderung menyokong Ismail Sabri yang juga Naib Presiden untuk kekal menerajui kerajaan.

Antara alasan untuk terus menyokong Ismail Sabri adalah disebabkan beberapa skandal besar yang melibatkan beberapa pemimpin UMNO didedahkan baru-baru ini.

Skandal besar kapal tempur pesisir (LCS) yang tidak siap antara perkara dibimbangi bakal memberi kesan kepada UMNO jika PRU-15 diadakan dalam keadaan tergesa-gesa.

“Ramai yang menyokong Ismail Sabri untuk kekal menjadi PM sehingga isu-isu besar dihadapi UMNO diselesaikan dengan segera… mereka tidak mahu isu LCS akan menjadi seperti skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sehingga menjejaskan peluang menjadi dominan.

“Isu-isu dihadapi rakyat juga perlu ditangani terlebih dahulu sebelum PRU-15 diadakan,” kata sumber itu kepada Agenda Daily.

Dalam pada itu, seorang ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Bung Mokhtar Radin berkata, pelbagai isu yang dibincang dalam mesyuarat tergempar hari ini dan ia akan disambung pada jam 5.30 petang nanti.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menghadiri tersebut.

“Banyak isu semasa, belum selesai, nanti kembali lagi 5.30,” katanya ringkas.

Difahamkan, mesyuarat itu disambung setelah selesai Zahid menghadiri perbicaraan kes penyelewengan dana Yayasan Akalbudi pada jam 2.30 petang ini.

Mesyuarat yang diadakan itu adalah atas jemputan yang dikeluarkan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan menyebut Zahid dan Timbalannya, Datuk Seri Mohamad Hasan meminta agar Ketua-ketua UMNO Bahagian hadir ke satu pertemuan khas.

Jemputan itu ditegaskan sebagai pertemuan segera dan mustahak.

Sumber: Agenda Daily

PALING POPULAR

To Top